PASANGAN yang sudah berkahwin dan ingin memiliki zuriat sememangnya menanti peluang itu dengan penuh harapan.

Namun, kejadian keguguran bayi dalam kandungan atas beberapa faktor semestinya memberi kesan emosi yang cukup mencabar buat mereka yang bakal bergelar ibu dan ayah.

Apatah lagi jika pasangan itu sudah mendirikan rumah tangga cukup lama dan melakukan pelbagai rawatan bagi mendapatkan cahaya mata yang amat dinantikan sebagai penyeri kebahagiaan.

Pakar sakit puan, Dr Senthi Muthuraman berkata, pengalaman wanita yang hamil tidak kira sama ada secara normal atau menerusi kaedah pensenyawaan in vitro (IVF) sebenarnya adalah sama.

Jelasnya, setiap wanita hamil pasti ada cabaran yang perlu ditempuhi begitu juga wanita yang hamil melalui IVF kerana janin dalam rahim memerlukan penjagaan amat rapi bagi mengelakkan keguguran.

“Misalnya, di sebalik kemajuan dalam teknologi pembiakan dan perancangan teliti dilakukan dalam setiap kitaran IVF, keguguran boleh menimbulkan kesedihan dan rasa kehilangan.

“Keadaan ini boleh menjadi amat menyedihkan kerana sering memerlukan tempoh keyakinan dan kedudukan ekonomi yang baik dalam membina impian sebuah keluarga,” katanya.

Jelasnya, keguguran trimester pertama merujuk kepada kehilangan kehamilan sebelum 12 minggu usia kandungan. Manakala keguguran trimester kedua berlaku antara 12 minggu dan 24 minggu.

“Bayi yang selamat dilahirkan perlu difahami dengan teliti meskipun menerusi kaedah IVF kerana setiap individu adalah unik berdasarkan status kesihatan mereka dari segi sejarah keadaan perubatan, gaya hidup (merokok, alkohol, stres) dan lain-lain lagi.

“Potensi risiko kehilangan kehamilan dalam konsep hamil semula jadi ditentukan berdasarkan beberapa perkara termasuk usia si ibu lebih 35 tahun, berat badan berlebihan atau obesiti, sejarah keguguran berulang, jangkitan mikrob dan peningkatan hormon pembiakan.

“Bagi kehamilan menerusi IVF, potensi risiko keguguran boleh dikaitkan dengan beberapa faktor khusus antaranya wanita yang mengalami ketidaksuburan termasuk faktor usia. Wanita hamil pada usia melebihi 35 tahun ke atas lebih berisiko mengalami keguguran,” katanya.

Katanya lagi, antara faktor lain adalah genetik dalam embrio yang tidak normal bermaksud embrio yang terbentuk dalam proses IVF mungkin mempunyai jumlah kromosom tertentu yang membuatkan embrio tidak dapat berkembang dengan baik.

“Selain itu, kelainan dalam rahim boleh menyukarkan embrio dalam proses penempelan atau membesar dengan sempurna menyebabkan risiko keguguran turut boleh berlaku.

“Malah, masalah kesihatan seperti autoimun wanita yang hamil boleh menyerang sel atau tisu dalam badan juga boleh menyebabkan keguguran bayi dalam kandungan,” katanya.

Pakar itu berkata, wanita yang hamil sebenarnya boleh mendapatkan rawatan awal dengan berjumpa pakar bagi mengelakkan keguguran sekiranya berlaku beberapa simptom seperti pendarahan faraj daripada bertompok ringan kepada pendarahan berat sama seperti ketika haid.

“Kekejangan atau sakit perut sering berlaku di bahagian bawah perut atau belakang, sakit pinggang, mengalami kesakitan pada pelvis yang sama seperti berlaku sakit senggugut. Mereka ini perlu mendapatkan rawatan atau berjumpa pakar secepat mungkin untuk mendapatkan rawatan dan rundingan,” katanya.

Jelasnya, bagi wanita yang menjalani rawatan IVF dan hamil mereka boleh mengurangkan risiko keguguran dengan mengurangkan pengambilan kafein harian yang tinggi melebihi 300 miligram setiap hari. Perkara ini disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

IBU hamil perlu berjumpa doktor mengikut jadual ditetapkan supaya pemantauan kandungan dapat dilakukan.

“Ibu hamil juga perlu elak daripada berada di kawasan mempunyai persekitaran yang mempunyai toksik dan bahan kimia kerana ia juga boleh menyebabkan keguguran bayi dalam kandungan.

“Bakal ibu sebaik-baiknya berehat dan sentiasa dalam keadaan tidak tertekan selepas menjalani proses IVF pada peringkat awal kandungan khasnya kerana emosi amat penting bagi memastikan embrio dalam rahim dalam keadaan sihat. Mereka juga boleh mendapatkan sokongan emosi daripada orang yang terdekat atau kaunselor,” katanya.

Katanya lagi, bakal ibu boleh melakukan teknik meditasi atau hobi yang tidak membabitkan kekuatan fizikal berintensiti tinggi kerana ia untuk membina kekuatan emosi dan tidak memberi bebanan kepada fizikal si ibu yang masih di peringkat awal kehamilan.

“Kekalkan diet seimbang, elakkan merokok, elakkan pengambilan alkohol, mengambil ubat yang disarankan doktor dan hadir janji temu berjadual dengan pakar kesuburan bagi memantau kesan pengambilan ubat yang disarankan,” katanya.

Katanya, selepas mengalami keguguran, ramai individu tertanya-tanya sama ada mereka masih subur dan pertimbangan waktu sesuai untuk mencuba lagi IVF.

“Antara yang dicadangkan ialah pemulihan fizikal kerana penting untuk memberi masa kepada badan pulih secara fizikal daripada keguguran. Pakar kesuburan boleh menasihati mengenai tempoh sesuai untuk memulakan kitaran IVF yang lain.

“Berikan diri masa melalui fasa sedih dan sembuh secara emosi. Sebenarnya penting untuk berada dalam keadaan emosi yang baik sebelum memulakan kitaran IVF yang lain,” katanya.

Tambahnya sebelum mencuba lagi, jalani penilaian kesihatan yang menyeluruh untuk mengenal pasti sebarang isu kesihatan asas yang boleh menjejaskan kehamilan pada masa hadapan turut disarankan.

“Bincangkan rancangan anda untuk cuba hamil semula dengan doktor. Pakar boleh memberikan panduan berdasarkan keadaan kesihatan bakal ibu. Walaupun mengalami keguguran boleh mencabar emosi, tidak semestinya IVF akan gagal lagi masa hadapan.

“Bagaimanapun, sekiranya kerap berlaku keguguran mungkin memerlukan pemeriksaan lanjut dengan kaedah lebih komprehensif untuk mengetahui isu yang boleh menjejaskan kadar kejayaan kehamilan itu,” katanya.

Kredit : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *