KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir di semua negeri di Pantai Barat Semenanjung dari Perlis hingga Johor.
Dalam kenyataan di portal X hari ini, amaran itu dikeluarkan membabitkan Perlis, beberapa daerah di Kedah iaitu Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Yan, Kuala Muda dan Bandar Baharu, Pulau Pinang manakala di Perak ialah Kerian, Larut. Matang, Selama, Manjung, Bagan Datuk dan Hilir Perak.
“Amaran itu juga dikeluarkan di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Gombak, Klang, Petaling, Kuala Langat, UIu Langat dan Sepang. Begitu juga di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Kawasan Seremban, Port Dickson dan Rembau di Negeri Sembilan, Melaka, Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru di Johor serta Bintulu, Miri, Sarawak juga dikeluarkan amaran hujan dan ribut.” katanya.
Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,
Setakat ini pagi ini, seramai 4,841 mangsa banjir daripada 1,490 keluarga ditempatkan di 40 pusat penempatan sementara (PPS) berikutan banjir di tujuh negeri.
Mengikut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir paling ramai adalah di Kedah, iaitu seramai 1,262 orang daripada 12 keluarga, yang ditempatkan di 12 PPS di empat daerah terjejas.
Ia diikuti Pahang (1,352 mangsa di tujuh PPS), Perak (1,262 mangsa di 11 PPS), Melaka (208 mangsa di empat PPS), Johor (199 mangsa di empat PPS), Sarawak (105 mangsa di satu PPS) dan Selangor (33 mangsa di satu PPS).
Mangsa membabitkan 1,744 lelaki dewasa, 1,697 wanita dewasa, 713 kanak-kanak dan bayi lelaki serta 687 kanak-kanak dan bayi perempuan.
Daripada jumlah itu, 686 orang ialah warga emas dan 84 orang ialah Orang Kurang Upaya (OKU).
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, seramai 82,794 pegawai dan anggota pelbagai cabang agensi kerajaan di semua peringkat berada dalam keadaan bersiap siaga untuk berdepan musim banjir akibat ketidaktentuan cuaca semasa, selain musim Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025.
Katanya, semua pegawai dan anggota itu akan menjalankan tugas masing-masing dengan sokongan sebanyak 37,127 unit pelbagai aset.
https://twitter.com/metmalaysia/status/1845992007648580003/photo/1
Kredit : Berita Harian