Belanjawan 2025 bakal dibentangkan Jumaat ini, dijangka menjadi tonggak utama Malaysia meningkatkan daya saing ekonomi dan memastikan pertumbuhan mampan di tengah-tengah perubahan landskap ekonomi global kompetitif.
Dengan tekanan inflasi, cabaran globalisasi dan perkembangan pesat teknologi, Malaysia perlu merangka strategi reformasi ekonomi berkesan melalui Belanjawan 2025 untuk memacu daya saing negara, menarik pelaburan yang berkualiti tinggi serta memperkukuh kedudukan negara.
Daya saing Malaysia pada peringkat global berkait rapat reformasi ekonomi dilaksanakan memperkukuh struktur ekonomi negara. Berdasarkan Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024, Malaysia berada di tangga 34 daripada 67 negara dan keempat dalam kalangan negara ASEAN selepas Singapura, Thailand serta Indonesia.
Cabaran daya saing Malaysia termasuk meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), memanfaatkan teknologi termaju seperti automasi dan kecerdasan buatan (AI) serta mengoptimumkan pasaran buruh.
Malaysia perlu mengemas kini dasar dan peraturan untuk menarik pelaburan asing serta meningkatkan produktiviti dalam sektor utama.
Justeru, kerajaan perlu melihat strategi jangka panjang untuk merangsang ekonomi negara, termasuk pelaburan dalam sektor berpotensi tinggi seperti teknologi, pertanian pintar dan tenaga boleh diperbaharui (RE).
Reformasi ekonomi bukan sahaja penting untuk memastikan pertumbuhan ekonomi kukuh, bahkan membolehkan Malaysia bersaing dengan negara jiran yang berusaha memperkukuh kedudukan dalam sektor teknologi, industri dan pelaburan asing.
Daya saing tidak hanya bergantung kepada kemudahan fizikal, bahkan kualiti modal insan, inovasi teknologi dan kebolehan kerajaan mewujudkan dasar mesra perniagaan serta pelaburan. Usaha mengurangkan kebergantungan sektor tradisional seperti pembuatan, minyak dan gas perlu kepada pemerkasaan sektor baharu seperti teknologi digital, RE serta ekonomi hijau yang perlu diterjemahkan dalam bentuk peruntukan kewangan.
Antara teras penting dalam Belanjawan 2025 adalah pemacuan industri teknologi dan digital yang kini menjadi nadi utama kepada pertumbuhan ekonomi global. Apatah lagi, negara maju banyak melabur dalam teknologi AI, automasi, internet benda (IoT), dan teknologi 5G.
Peruntukan dalam Belanjawan 2025 perlu merangkumi insentif dan bantuan kewangan untuk syarikat tempatan ingin meneroka serta membangunkan teknologi baharu.
Pada masa sama, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak peluang latihan kepada pekerja tempatan untuk meningkatkan kemahiran digital, terutama dalam bidang seperti data sains, pembangunan perisian dan kejuruteraan AI. Dengan ini, kita boleh menarik lebih banyak pelaburan asing, terutama syarikat global berminat untuk menubuhkan hab R&D di rantau Asia Tenggara.
Daya saing negara juga berkait rapat dengan kualiti modal insan. Oleh itu, Belanjawan 2025 perlu memberikan tumpuan lebih besar terhadap sektor pendidikan dan latihan vokasional.
Pembangunan kurikulum berasaskan kemahiran abad ke-21, menekankan kepentingan pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan kreativiti penting untuk melahirkan siswazah mampu bersaing pada peringkat global.
Kerajaan juga perlu mengukuhkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi menyediakan tenaga kerja mahir dalam sektor seperti pembuatan berteknologi tinggi dan robotik.
Malaysia perlu memanfaatkan kerjasama syarikat antarabangsa untuk membina pusat latihan industri dan memperkenalkan program latihan bersesuaian keperluan industri.
Sediakan insentif penyelidikan
Pelaburan dalam R&D juga elemen penting mengukuhkan daya saing Malaysia kerana negara seperti Korea Selatan, Jepun dan Jerman membuktikan pelaburan konsisten boleh membawa kepada penciptaan teknologi serta produk baharu.
Justeru, kerajaan perlu memberikan insentif kepada syarikat tempatan dan universiti untuk menjalankan penyelidikan boleh memberi impak besar kepada ekonomi termasuk penyelidikan teknologi hijau, kesihatan dan sektor pembuatan berteknologi tinggi, sekali gus meningkatkan pengkomersialan hasil penyelidikan melalui kerjasama dengan sektor swasta.
Harus juga ditekankan terdapat peningkatan kesedaran mengenai kepentingan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam memastikan kelestarian perniagaan dan ekonomi sehingga banyak syarikat multinasional meletakkan syarat kepada pembekal untuk mematuhi standard berkenaan.
Belanjawan 2025 perlu menitikberatkan insentif untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar dapat mengintegrasikan prinsip ESG dalam operasi perniagaan termasuk menyediakan bantuan kewangan, pengecualian cukai dan insentif. Infrastruktur fizikal seperti jalan raya, pelabuhan dan lapangan terbang adalah prasyarat menarik pelaburan dan memudahkan perdagangan antarabangsa.
Oleh itu, peruntukan mencukupi perlu disediakan untuk perbaiki dan menaik taraf infrastruktur sedia ada, terutama di kawasan hab industri serta perdagangan. Infrastruktur digital juga perlu diberikan perhatian, iaitu pembangunan rangkaian internet pantas dan stabil untuk membolehkan syarikat tempatan memanfaatkan peluang dalam ekonomi digital.
Aspek reformasi cukai juga penting dalam memastikan persekitaran perniagaan mesra pelaburan. Belanjawan 2025 perlu mempertimbangkan penstrukturan semula sistem cukai untuk mengurangkan beban kepada syarikat tempatan dan pelabur asing. Langkah seperti pengecualian cukai untuk syarikat teknologi dan syarikat pemula serta pengurangan cukai korporat bagi syarikat melabur dalam R&D, boleh membantu meningkatkan daya saing negara.
Reformasi tadbir urus ekonomi lebih telus dan cekap diperlukan untuk mengurangkan ketirisan serta salah guna kuasa dalam pengurusan kewangan negara, sekali gus memberikan keyakinan kepada pelabur dan mewujudkan suasana perniagaan lebih kondusif.
Antara fokus utama Belanjawan 2025 adalah untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi. Data pada 2023 menunjukkan kadar pengangguran kebangsaan pada 3.5 peratus, walaupun terdapat usaha untuk meningkatkan sektor pekerjaan menerusi program peningkatan kemahiran.
Justeru, Belanjawan 2025 perlu memberikan insentif kepada syarikat mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor seperti teknologi, automasi serta RE.
Pada masa sama, penstrukturan semula subsidi perlu difokuskan kepada meningkatkan daya saing negara. Subsidi lebih terarah seperti kepada sektor menyokong ekonomi hijau, teknologi dan inovasi, dapat membantu mempercepat transformasi industri. Subsidi menyokong penggunaan RE dan amalan mesra alam perlu dipertingkatkan.
Realitinya, Belanjawan 2025 adalah peluang penting bagi Malaysia melaksanakan reformasi ekonomi diperlukan bagi meningkatkan daya saing negara. Melalui penekanan kepada pembangunan teknologi, modal insan, inovasi, amalan ESG, infrastruktur dan reformasi cukai, Malaysia dapat memastikan pertumbuhan ekonomi mampan serta terus relevan di pentas global.
Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH
Penulis adalah Pensyarah dan, Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Kredit : Berita Harian