Tomok, Sharul diangkat Duo Terbaik FD4 minggu pertama

SHAH ALAM: Persembahan memukau ditampilkan pasangan sepupu, Tomok dan Sharul Kamal menerusi konsert Famili Duo (FD4) minggu pertama yang disiarkan secara langsung di TV3 dari Studio TV3, Glenmarie, di sini, malam tadi membolehkan mereka diangkat sebagai Duo Terbaik.

Pasangan itu berjaya membawakan lagu Aku Penghiburmu nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah dan Gerhana (Datuk M Nasir) dengan cemerlang, sekali gus memastikan hadiah wang tunai bernilai RM10,000 menjadi milik mereka.

Menerusi persembahan itu, Tomok dan Sharul mengumpul sebanyak 64.5 markah meninggalkan lima pasangan lain iaitu Naqiu dan Joey Daud (59.0 markah), Ayie Elham dan Salman Asis (48.3 markah), Shiha Zikir dan Ieda Zikir (46.9 markah), Zahid dan Anne (35.8 markah) serta Didi Astillah dan Thamiera (31.5 markah).

Susulan kemenangan itu, Tomok dan Sharul memilih tema Irama Malaysia untuk dipersembahkan setiap peserta pada konsert minggu kedua, Ahad depan.

FD4 dikemudikan oleh artis serba boleh, Janna Nick dan Sharif Zero sebagai hos, manakala kerusi juri akan diisi oleh figura hebat, Mas Idayu dan Datuk Rosyam Nor.

Pemenang mingguan akan ditentukan oleh juri dengan pemarkahan sebanyak 70 peratus dan undian atas talian melalui Tonton (30 peratus).

Selain TV3, FD4 boleh distrim secara langsung secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play atau App Store.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *