Pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan berkuat kuasa mulai 1 Disember ini bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) adalah amat dinantikan penjawat awam. Pakej ditawarkan mengikut SSPA dilihat menyeluruh dan inklusif.
Bermula dengan pembaharuan melalui inisiatif di bawah pembangunan organisasi, penambahbaikan ke atas saraan penjawat melalui struktur gaji ditambah baik, kemudahan lebih fleksibel serta rasionalisasi elaun dan tawaran penambahbaikan perkhidmatan termasuk dan kemajuan kerjaya lebih baik dan meluas.
Melalui pelaksanaan SSPA ini, kerajaan bersetuju meningkatkan Gaji Permulaan Terendah (GPT) kepada RM1,500 dengan kelayakan masuk ke perkhidmatan awam minimum di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ketimbang RM1,200 berkuat kuasa sejak Julai 2016 dengan kelayakan masuk di peringkat Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Peningkatan GPT ini selari dengan hasrat kerajaan supaya pendapatan minimum bulanan penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan bagi mengimbangi peningkatan kos sara hidup pada hari ini.
Pelarasan gaji sebanyak 15 peratus dan dibayar secara berfasa menunjukkan komitmen kerajaan mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada khidmat bakti ditunjukkan penjawat awam merealisasikan segala perancangan untuk dinikmati rakyat.
Seperti mana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Majlis Amanah Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 pada 16 Ogos lalu, pemberian pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan serta Profesional akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu 8.0 peratus atau minimum RM240 pada Fasa 1 mulai 1 Disember nanti 7.0 peratus bagi Fasa 2 pada 1 Januari 2026.
Bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi, pemberian pelarasan gaji sebanyak 7.0 peratus dengan pecahan 4.0 peratus bagi Fasa 1 bermula pada 1 Disember ini dan 3.0 peratus dilaksanakan pada 1 Januari 2026.
Meskipun mempunyai kekangan dari sudut ruang fiskal terhad serta beban kewangan semakin meningkat, kerajaan berupaya melaksanakan janji untuk memberikan pelarasan gaji ini sebagai satu manifestasi perkhidmatan awam adalah segmen amat penting dan kebajikan warga penjawat awam sentiasa diberi perhatian.
Seiring dengan hasrat kerajaan supaya penjawat awam sentiasa berprestasi tinggi, melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah serta integriti, beberapa elemen penting dalam perkhidmatan ditambah baik.
Ia merangkumi penilaian prestasi, pengiktirafan, insentif berasaskan prestasi, kemajuan kerjaya dan dasar pemisah bagi memberi nilai tambah kepada apa dilaksanakan pada masa ini.
Pembaharuan dibuat ini memberi lebih peluang kepada penjawat awam menikmati kemajuan kerjaya lebih baik selagi memenuhi kriteria dan syarat ditetapkan serta kekal berprestasi tinggi dan komited melaksanakan tugas.
Peluang kenaikan pangkat secara one-off, kenaikan pangkat tanpa kekosongan, peluasan jawatan gred fleksi serta Laluan Pakar Bidang Khusus adalah antara perkara diperkenalkan di bawah SSPA.
Kelebihan ini patut menjadi motivasi tambahan kepada penjawat awam untuk kekal berkhidmat dengan cemerlang. Selepas sekian lama berada di bawah SSM, pengenalan SSPA memberi nafas baharu dan kesegaran pada semangat serta jati diri penjawat awam untuk terus mencurah bakti dan bekerja dengan penuh dedikasi.
Melihat kepada segala penambahbaikan, pembaharuan malah pemberian pelarasan gaji pada SSPA, sewajarnya penjawat awam memilih untuk turut serta di bawah sistem saraan baharu ini.
Meskipun sudah terbukti kualiti dan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat sentiasa meningkat dan bertambah baik dari semasa ke semasa, kerajaan tentunya mengharapkan kualiti ini dapat ditingkatkan selari dengan peningkatan gaji dan kemudahan lain diperkenalkan melalui SSPA.
Penyampaian perkhidmatan bukan sahaja diukur melalui kualiti perkhidmatan, malah dalam skop lebih besar dan luas, harus diterjemahkan melalui usaha memanfaatkan kemajuan sains dan teknologi bagi memacu prestasi perkhidmatan awam.
Penulis ialah Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Gaji dan Elaun, Jabatan Perkhidmatan Awam
Kredit : Berita Harian