Rumah tangga baru setahun jagung, tak layak beri tip – Neelofa

KUALA LUMPUR: Pengacara dan usahawan, Neelofa tidak menafikan melalui susah senang sepanjang melayari rumah tangga bersama pendakwah selebriti, Haris Ismail atau PU Riz.

Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd mengakui bukan senang untuk hidup bersama pada awal perkahwinan, luaran mungkin rumah tangga bersama PU Riz kelihatan bahagia kerana hanya berkongsi sedikit daripada kehidupan mereka.

Sebagai manusia biasa, kata Neelofa, 35, dia turut melalui kesusahan dan ujian serta kekurangan pasangan.

Justeru, katanya, dia sedar tidak layak memberikan nasihat panjang lebar berkaitan rumah tangga berikutan usia perkahwinan yang baru setahun jagung.

“Rahsia rumah tangga ada susah senangnya, dari luaran orang mungkin nampak kami bahagia dan manis kerana mereka hanya nampak sikit-sikit. Tapi bukan senang hidup bersama, saya juga rasai kesusahan, ujian dan dugaan.

“Rumah tangga saya pun baru setahun jagung, jadi saya tahu tidak layak untuk beri tip atau nasihat panjang lebar.

“Tapi selagi seorang isteri dan suami mentaati perintah Allah dan apa yang agama sudah susun dan semampunya untuk ikut, inysa-Allah ada berkat dan akan dipermudahkan,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu sempat menitipkan pesan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin supaya mendalami ilmu perkahwinan terlebih dulu.

“Saya pun belajar selepas kahwin, kalau ilmu ini (perkahwinan) saya tahu daripada sebelum kahwin, mungkin lebih mudah dilalui.

“Jadi, kepada adik-adik yang ingin kahwin, tolong belajar ilmu perkahwinan kerana memang saya galakkan. Adik-beradik saya pun lalui situasi sama dengan saya,” katanya.

Neelofa dan PU Riz, 29, berkahwin pada 27 Mac 2021. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal, 2, dan Abdullah Abbas, 1.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *