KUALA LUMPUR: Nur Dhabitah Sabri menutup tirai Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia 2024 di Pusat Akuatik Nasional hari ini dengan menambah koleksi emas ketiganya dalam acara 3 meter papan anjal seirama campuran.
Dhabitah yang sebelum ini meraih emas dalam acara 3m papan anjal seirama wanita dan berpasukan campuran, menambah emas ketiganya itu bersama Gabriel Gilbert Daim yang sebelum ini hampir setahun tidak beraksi kerana cedera.
Malah, gandingan Dhabitah-Gabriel itu adalah yang pertama sejak kali terakhir bergandingan bersama di Kejohanan Grand Prix FINA di Gold Coast, Australia 2017 yang menyaksikan duo berkenaan meraih gangsa.
“Saya amat berbangga dengan Gabriel kerana dia sudah lama tidak menyertai pertandingan… hampir setahun juga. Hari ini saya berpuas hati dan gembira, kami dapat habiskan kejohanan ini seperti dirancang.
“Kami sudah lama tidak berganding bersama. Sekiranya selepas ini kami digandingkan, saya tidak mempunyai masalah untuk berganding dengannya,” kata Dhabitah ketika ditemui media.

Emas berada dalam genggaman Dhabitah-Gabriel selepas mereka mengumpul 242.10 mata manakala perak menjadi milik Indonesia yang diwakili Aldinsyah Putra Rafi-Gladies Lariesa Garina dengan 230.40 mata.
Melengkapkan pentas podium gandingan Singapura, Max Lee dan Alycia Lim yang mengumpul mata keseluruhan 202.08.
Dalam pada itu, Gabriel, 23, turut berpuas hati dengan prestasinya pada kejohanan edisi kedua itu selepas hampir setahun tidak menyertai sebarang pertandingan akibat kecederaan tulang belakang.
“Bagi saya, prestasi hari ini OK sebab saya hampir setahun tidak bertanding dan mungkin ada yang meletakkan harapan yang saya boleh buat lebih baik lagi, tetapi untuk kejohanan pertama selepas lama tidak bertanding, bagi saya, masih OK.
“Saya cedera di tulang belakang dan masih dalam pemulihan. Doktor ada mencadangkan untuk saya buat pembedahan tetapi saya masih belum memikirkannya lagi,” katanya yang kali terakhir beraksi pada Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun.
Kredit : Berita Harian