Kuala Lumpur: Kediaman milik pasangan suami isteri yang juga pengasas platform e-dagang, Fashion Valet, Datin Vivy Yusof Datuk Fadzaruddin Shah Anuar di Mont Kiara di sini dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Menurut sumber, sebelum itu, pasangan tersebut hadir ke SPRM jam 1 petang untuk menyambung memberi keterangan kemudiannya dibawa ke kediaman pada jam 5.30 petang bagi tujuan pembongkaran.
“Dalam serbuan ini, selain dihadiri 12 pegawai SPRM, ia turut disertai peguam pasangan berkenaan.
“Pengeledahan berakhir sekitar jam 8 malam dan antara barangan yang disita termasuklah 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan pembongkaran tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Katanya, pasangan berkenaan akan hadir lagi ke SPRM esok jam 10 pagi untuk sambung memberi keterangan.
Terdahulu, Vivy dan suami selesai dirakam percakapan selepas beredar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, petang tadi.
Pasangan itu yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) hitam dilihat beredar pada 4.23 petang, selepas tiga jam memberi keterangan.
Suami isteri itu hadir sekali lagi hari ini untuk menyambung rakaman percakapan susulan kerugian pelaburan dana Khazanah Berhad Nasional (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.
Bagaimanapun cubaan media untuk menemubual mereka gagal selepas kenderaan membawa kedua-duanya tidak berhenti dan terus meninggalkan Ibu Pejabat SPRM.
Disiarkan pada: November 6, 2024 @ 10:44pm
Kredit : Harian Metro