TAHUKAH anda, sindrom makan malam (NES) didapati sering berlaku dalam kalangan individu yang berdepan masalah obesiti dan mereka mengalami masalah tidur?
Makan lewat malam adalah pengambilan makanan sekitar jam 11 malam ke atas atau makan di luar waktu makan yang normal.
NES sering dikaitkan dengan masalah kegemukan disebabkan pelbagai faktor.
Namun, sehingga kini doktor masih belum menemui jawapan konklusif mengenai masalah NES.
Bagaimanapun, difahamkan ia mungkin ada kaitan dengan isu sukar tidur di waktu malam atau mungkin juga kerana faktor hormon.
Apabila berlaku ketidakseimbangan, badan kita mahukan gula dan beberapa makanan ringan.
Menurut ahli psikologi pula, NES berkait rapat dengan faktor stres, kebimbangan, kemurungan.
Kajian menunjukkan, seseorang itu lebih mudah mengalami NES jika individu berkenaan ada masalah kegemukan atau nafsu makan tidak menentu.
Mengambil makanan pada larut malam disifatkan tidak sesuai diamalkan kerana sistem fisiologi tubuh manusia secara semula jadi hanya perlu makan pada waktu siang hari saja.
Menurut Pensyarah Fakulti Kesihatan dan Sains Hayat, Management and Science University (MSU), Sarina Sariman, NES adalah gangguan waktu makan yang digambarkan sebagai pengambilan makanan berlebihan pada waktu malam yang kerap atau berulang dan tidak terkawal.
“Pengambilan makanan yang berlebihan tidak kira pada waktu makan yang tertentu akan meningkat risiko kenaikan berat badan.
“Biasanya kita akan makan lebih banyak bersama keluarga atau rakan berbanding apabila makan sendirian.
“Disebabkan waktu malam adalah kebiasaan di mana seluruh keluarga berkumpul selepas bekerja seharian, peka atau prihatin kepada jumlah makanan yang diambil dimakan amat penting supaya kita tidak makan berlebihan.
“Waktu ideal untuk makan malam sepatutnya bermula jam 6.30 petang hingga 8.30 malam,” katanya kepada BH.
Sarina berkata, makan terlalu dekat dengan tempoh waktu tidur mungkin menyebabkan makanan tidak dapat dicernakan dengan betul dan ia sering dikaitkan dengan masalah ketidakselesaan sistem penghadaman dan boleh mengganggu kualiti tidur.

“Badan kita mempunyai kitaran tidur-berjaga (sleep-wake cycle) yang mempengaruhi kadar metabolisme badan.
“Waktu malam sering dikaitkan dengan penurunan kadar metabolisme badan dan pengurangan aktiviti fizikal (kurang tenaga digunakan untuk melakukan aktiviti fizikal).
“Sekiranya tenaga berlebihan diambil pada waktu malam, tenaga yang tidak digunakan akan disimpan sebagai lemak dalam badan dalam jangka masa panjang dan ini boleh menyebabkan kegemukan,” jelasnya.
Sarina berkata, berdasarkan kajian, statistik pengambilan makanan lewat malam dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk umur, tahap pengetahuan dan jenis pekerjaan.
“Beberapa kajian yang dijalankan dalam kalangan pelajar universiti mendapati, lebih ramai pelajar wanita makan lewat malam dan ini dikaitkan juga dengan tingkah laku gangguan pemakanan (eating disorder).
“Terdapat juga kajian yang melaporkan pengambilan makan lewat malam yang lebih tinggi dalam kalangan dewasa lelaki yang bekerja syif,” katanya.
Katanya, jika seseorang terpaksa atau teringin makan pada lewat malam, mereka boleh mengambil makanan atau minuman ringkas seperti susu dan buah-buahan.
“Seeloknya, pastikan pilihan makanan yang lebih sihat seperti kekacang, biskut rendah kandungan lemak atau gula serta buah-buahan segar atau kering (contohnya kismis) ada di rumah supaya sekiranya perlu untuk makan lewat, ada pilihan makanan yang lebih baik boleh diambil”.
“Pengambilan air kosong yang mencukupi juga dapat membantu mengawal rasa lapar yang berlebihan. Elakkan pengambilan kafein di waktu malam yang mungkin akan mempengaruhi tidur”.
“Sebaiknya disiplinkan diri dan atur jadual makan mengikut keperluan serta pastikan anda mendapat tidur yang mencukupi”.
“Seeloknya makanan terakhir diambil adalah dalam tempoh tiga hingga empat jam sebelum waktu tidur,” katanya.
Tip elak makan lewat malam
1. Rancang waktu makan harian
– Jangan langkau waktu makan untuk elakkan rasa lapar melampau pada waktu makan seterusnya.
– Amalkan #sukuseparuh bagi setiap waktu makan.
– Ambil snek sihat seperti buah/susu sebelum tidur jika perlu.
2. Elak tidur lewat
– Berjaga lewat malam boleh rasa lapar yang keterlaluan.
– Kurang tidur menyebabkan individu sering berasa lapar sepanjang hari.
– Elakkan aktiviti yang menyebabkan anda tidur lewat.
3. Jika masih lapar
– Elakkan ambil makanan/minuman yang tinggi kalori, gula dan lemak seperti coklat, burger, air berkarbonat atau kerepek.
– Tidur segera.
*Sumber: Bahagian Pemakanan KKM
Kredit : Berita Harian