KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara bermula langkah kiri apabila tewas 4-0 di tangan India dalam perlawanan pembukaan Trofi Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Rajgir, sebentar tadi.
Malaysian Tigress bagaimanapun bermain dengan baik pada awal perlawanan dan berjaya memberi tentangan ke atas gergasi Asia itu apabila hanya dibolosi satu gol sehingga tamat babak pertama.
Gol pembukaan India itu dijaringkan Sangita Kumari yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit kelapan.
Dek kekebalan benteng pertahanan Malaysia, India terpaksa menunggu sehingga minit ke-43 bagi meledak gol kedua juga menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan Preeti Dubey.
Seminit kemudian mpasukan bimbingan Harendra Singh menambah gol ketiga melalui pukulan sudut penalti Udita Duhan.
Sangita menambah gol kedua peribadi pada minit ke-55 kali ini menerusi jaringan padang bagi membantu pasukannya berada di tangga kedua di belakang China dalam saingan secara liga sepusingan itu.
China mengungguli tangga teratas selepas membelasah Thailand 15-0, manakala Jepun dan Korea Selatan pula terikat 2-2.
Esok skuad hoki wanita negara menghadapi aksi kedua menentang China.
Kredit : Berita Harian