KUALA LUMPUR: Penyany tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan Anugerah Khas Biduanita Negara yang diberikan kepadanya bukan sekadar pengiktirafan terhadap kerjaya seninya, tetapi juga didedikasikan buat semua pejuang seni tanah air.
Sambil memanjatkan kesyukuran, Siti atau nama sebenar, Siti Nurhaliza Tarudin, 45, mengakui pengiktirafan diterima itu hadir dengan tanggungjawab yang cukup besar untuknya terus menabur bakti dalam bidang yang menjadi kecintaannya sejak hampir tiga dekad lalu.
“Pertama sekali, dengan penuh keinsafan dan rendah diri, saya ingin menzahirkan rasa syukur tidak terhingga atas penganugerahan Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024.
“Terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi atas anugerah ini.

“Dari hati yang luhur, saya melihat anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan kepada pencapaian kerjaya seni, namun lambang penghargaan kepada semua insan seni yang sentiasa memperjuangkan keindahan budaya dan muzik tanahair.
“Amanah dan kepercayaan ini juga adalah satu tanggungjawab buat saya secara peribadi untuk terus memartabatkan seni dan budaya terutama dalam bidang muzik untuk terus cemerlang dan subur mewarnai zaman.
“Kepada Allah saya panjatkan kesyukuran tidak terhingga kerana dengan kurniaan bakat. Sayq berpeluang memanfaatkannya untuk memberi nilai positif, inspirasi dan pengaruh yang baik.
“Seni juga menghubungkan dan menyatukan kita tanpa mengira agama, bahasa, bangsa dan negara,” katanya melalui satu kenyataan media.
Sehubungan itu, penyanyi Aku Bidadari Syurgamu itu berjanji akan terus bekerja keras tanpa mengenepikan nilai positif dalam setiap karya dihasilkan yang menjadi tanda dagangnya selama ini.
“Justeru, saya berikrar untuk terus menggandakan usaha memberikan nilai positif dalam mengekalkan seni budaya untuk terus dihormati, dijaga dan dihargai kerana inilah warisan yang perlu dipelihara,” luah pemenang trofi Anugerah Seri Perak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2012 itu.
Dalam pada itu, penganugerah itu turut mengembalikan ingatan Siti terhadap kata-kata yang pernah diucapkan arwah bapanya, Allahyarham Tarudin Ismail yang mengaitkan lagu Bunga Melur dengan keperibadian dirinya.
“Dalam meraikan detik paling manis dan bermakna ini, ingatan saya tertoleh kembali mengingatkan bait-bait kata arwah ayah, Allahyarham Tarudin Ismail yang sering mengibaratkan saya seperti bunga melur iaitu lagu kegemaran arwah.
“Ibarat gadis desa bunga melur, sederhana…
“Walau kering tak bercahaya bunga melur…
“Baumu memikat jiwa…”, ujar Siti.
Sementara itu, juara Bintang HMI 1995 itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepaa semua pihak sambil berharap anugerah berkenaan memberi semangat untuknya terus menghasilkan karya berkualiti, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di luar negara.
“Saya sentiasa mengingatkan diri, setiap kali meraih sesuatu kejayaan, rezeki ini adalah berkat doa dan sokongan semua pihak yang selama ini menjadi tulang belakang kerjaya seni saya yang kini sudah mencecah 29 tahun.
“Justeru, saya juga ingin merakamkan penghargaan yang tulus khususnya kepada orang-orang terdekat saya iaitu suami, anak-anak, ibu, arwah bapa, kaum keluarga, pengurusan, petugas dan kakitangan.
“Tidak ketinggalan, rasa terima kasih ingin saya panjangkan kepada syarikat-syarikat rakaman serta semua penerbit, komposer dan penulis lirik yang pernah terbabit dalam kerja penerbitan album saya selama ini.
“Penghargaan juga buat semua sahabat-sahabat media di semua platform yang setia memberi sokongan kepada karier saya selama ini.
“Tidak dilupa buat peminat tersayang dan pencinta muzik di seluruh rantau ini serta semua yang mendukung kerjaya saya selama ini.
“Tanpa pembabitan anda semua, pencapaian ini tidak mungkin dapat saya kecapi.
“Semoga penghargaan ini menjadi inspirasi dan motivasi buat saya untuk terus menghasilkan karya terbaik dan membawa keindahan seni muzik Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Terdahulu Siti menerima Anugerah Khas, Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024 (ASN 2024) anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, malam tadi.
Pada majlis itu, Siti turut melancarkan lagu baharu berjudul Sejarah.
Kredit : Berita Harian