KUALA LUMPUR: Selepas enam tahun mengumumkan pembubaran, kumpulan KRU mengesahkan kembali bersatu sejak Mei tahun lalu.
Anggotanya, Datuk Norman Abdul Halim, 52, berkata, keputusan kembali ‘rujuk’ dibuat selepas melihat dua anggota, iaitu adiknya, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim, rancak berkongsi mengenai muzik dan teknologi terkini di WhatsApp mereka.
“Saya masih ingat lagi pada 2018, ketika itu, kami tiada perancangan hendak bubar. Tujuan Konsert Gergasi KRU 25 di Istana Budaya (IB) dianjurkan hanya untuk meraikan ulang tahun KRU ke-25.
“Cuma ketika kira-kira tiga minggu sebelum konsert, Edry luahkan hasrat untuk bubarkan KRU sebab mahu berhijrah ke Manchester, United Kingdom (UK).

“Ketika itu, saya terkejut tetapi hendak buat apa. Edry sudah buat keputusan. Lagipun, saya dan Yusry berfikir, apa lagi yang hendak dibuat sebab semua sudah kami lakukan.
“Hendak menang anugerah, buat siri jelajah dan filem? Semua itu sudah kami buat,” katanya pada majlis pelancaran single baharu, Voodoo di sini, semalam.
Norman berkata, namun, pengorbanan Edry yang sanggup berulang alik antara KL-Manchester dalam tempoh setahun ini, mendong mereka kembali bersatu.
Sementara Edry berkata, penyatuan semula KRU berlaku disebabkan mahu menunaikan impian peminat.
“Satu perkara yang tidak dapat kami nafikan adalah peminat sentiasa bertanya bila KRU hendak buat lagu baharu. Apabila kita di seberang laut, hati mana yang tidak tersentuh dengan perhatian diberi,” katanya.
Pada April 2018, KRU yang meledak dengan single Awas mengumumkan pembubaran kumpulan itu selepas konsert terakhir di ibu negara 6 Mei tahun sama.
Kredit : Berita Harian