Banjir 7 negeri surut tapi kemusnahan akibat banjir semakin jelas kelihatan

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di tujuh negeri semakin menurun apabila setakat jam 8 pagi ini seramai 66,003 orang daripada 20,168 keluarga masih berada di 227 pusat pemindahan sementara (PPS), menurut portal InfoBencana JKM.

Kelantan yang paling terjejas sebelum ini mencatatkan penurunan ketara jumlah mangsa kepada 43,745 mangsa susulan cuaca semakin baik sejak kelmarin.

Semua mangsa membabitkan 13,999 keluarga itu ditempatkan di 96 PPS.

Berdasarkan Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga kini hanya enam daerah masih dilanda banjir, manakala banjir di empat daerah lagi sudah pulih dan PPS sudah ditutup sejak kelmarin sehingga semalam.

Daerah yang masih dilanda banjir adalah Pasir Mas merekodkan 22,441 mangsa diikuti Tumpat 20,556 mangsa.

Selain itu, Kota Bharu membabitkan 403 mangsa, Bachok 243 mangsa, Tanah Merah 55 mangsa dan Pasir Puteh, 47 mangsa.

Banjir di Besut pulih

Sementara itu di Terengganu sebanyak 63 PPS masih dibuka di tujuh daerah untuk menempatkan 14,525 mangsa daripada 3,735 keluarga.

Besut yang sebelum ini merekodkan jumlah mangsa teramai menjadi daerah pertama pulih sepenuhnya.

Ia selepas tiga PPS yang sebelum ini menempatkan seramai 315 mangsa daripada 66 keluarga ditutup secara berperingkat selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Kuala Nerus merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 6,366 mangsa daripada 1,665 keluarga di 15 PPS diikuti Dungun yang mencatatkan seramai 4,594 mangsa daripada 1,111 keluarga di 20 PPS.

Sebanyak sembilan PPS dibuka di Kuala Terengganu bagi menempatkan 2,511 mangsa daripada 608 keluarga manakala diHulu Terengganu, seramai 466 mangsa (121 keluarga) berlindung di tujuh PPS.

Di Marang, seramai 186 mangsa daripada 43keluarga yang terjejas berada di tiga PPS dan seramai 158 mangsa (28 keluarga)di Setiu ditempatkan di empat PPS di daerah berkenaan.

Kemaman merekodkan jumlah mangsa terendah iaitu seramai 13 mangsa daripada empat keluarga yang berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Kerteh.

Di Kedah, sebanyak 32 PPS dibuka di empat daerah, menempatkan 6,165 mangsa daripada 1,968 keluarga manakala Johor 20 PPS dibuka di dua daerah menempatkan 1,068 mangsa daripada 305 keluarga.

Satu daerah di Melaka masih terjejas banjir dengan dua PPS dibuka untuk 172 mangsa daripada 44 keluarga. Sebanyak 127 keluarga merangkumi 383 mangsa masih berlindung di 10 PPS di lima daerah di Perak.

Di Pahang pula empat PPS masih dibuka di dua daerah menempatkan 53 mangsa daripada 11 keluarga setakat 8 pagi ini.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *