KOTA KINABALU: Kepemimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak menolak kemungkinan menerima cadangan untuk menggabungkan parti itu dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Ia berikutan keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi PBS semalam yang menyatakan persetujuan untuk membentuk satu jawatankuasa bagi melihat cadangan penggabungan berkenaan.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui.
Katanya, Ahli Majlis Tertinggi PBS itu dipilih ketika perbincangan mengenai penggabungan itu yang dipengerusikan pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
“Sebelum ini, pemimpin PBS dan STAR sudah mengadakan perbincangan tidak rasmi mengenai kemungkinan untuk menggabungkan kedua-dua parti.
“Berikutan itu, mesyuarat Majlis Tertinggi PBS semalam bersetuju supaya sebuah jawatankuasa diwujudkan bagi meneliti perkara terbabit yang diketuai Ahli Parlimen Tawau,” katanya.
Pada April lalu, PBS dan STAR menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang boleh diadakan dari sekarang hingga Oktober tahun depan.
Minggu lalu, Majlis Kepemimpinan Bersama (JLC) kedua-dua parti mengadakan mesyuarat kedua bagi meningkatkan lagi kerjasama termasuk mengenal pasti kerusi bakal ditandingi pada PRN17 dan membentuk pelan strategik menghadapi pilihan raya.
Sementara itu, Joniston berkata jawatankuasa penggabungan parti itu yang dianggotai beberapa peguam, antara lain akan meneliti aspek teknikal penggabungan.
“Selain penggabungan parti, mesyuarat Majlis Tertinggi PBS semalam juga memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti yang dijadual pada tahun depan berikutan PRN17,” katanya.
Ketika ini, PBS dan STAR adalah rakan komponen kedua terbesar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang diketuai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
PBS dan STAR masing-masing memiliki tujuh dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri, kebanyakannya di kawasan ramai pengundi Kadazandusun dan Murut.
Kredit : Berita Harian