Tiga pasangan layak ke final FD4

SHAH ALAM: Hanya tiga pasangan yang berjaya melayakkan diri ke konsert akhir Famili Duo musim keempat (FD4) selepas tamat peringkat separuh akhir yang disiarkan secara langsung TV3, malam tadi.

Mereka yang layak adalah pasangan sepupu, Ayie Elham dan Salma Asis, Tomok dan Sharul Kamal (sepupu), Shiha Zikir dan Ieda Zikir (adik-beradik).

Keputusan itu diumumkan hos, Sharif Zero dan Janna Nick selepas dinilai juri tetap, Datuk Rosyam Nor dan Mas Idayu.

Tiga pasangan itu diberikan tema Bebas dan Duet/Vokal Berkumpulan untuk dipersembahkan pada konsert akhir, Ahad depan.

Perjalanan dua lagi pasangan iaitu Joey Daud dan Naqiu (sepupu) serta Zahid dan Anne (adik-beradik) terhenti di peringkat separuh akhir.

Konsert akhir FD4 yang dijadual berlangsung pada Ahad depan menyaksikan setiap finalis bakal bersaing merebut hadiah utama wang tunai berjumlah RM100,000.

Sementara itu, konsert separuh akhir FD4 yang bertemakan Bebas menyaksikan Salma dan Ayie meraih gelaran Duo Terbaik.

Ayie dan Salma membawa lagu Jangan Khianati Aku nyanyian asal Azlan & Typewriter dan Andai Ku Bercinta Lagi (Mojo) dengan baik, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Sebelum ini, Ayie dan Salma pernah meraih gelaran Duo Terbaik pada konsert minggu kedua.

Pemenang mingguan akan ditentukan oleh juri dengan pemarkahan sebanyak 70 peratus dan undian dalam talian melalui Tonton (30 peratus).

Selain TV3, FD4 boleh distrim secara langsung secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play atau App Store.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *