KUALA LUMPUR: Kekecewaan Tokoh Bahasa dan Persuratan Negara, Senator Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan terhadap kedudukan bahasa Melayu bukan sedikit.
Katanya, pelaksanaan dasar penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan masih belum mencapai tahap memuaskan, terutamanya dalam sektor pentadbiran, kehakiman, pendidikan, dan ruang awam.
Malah, slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” seakan tidak membawa makna jika jiwa bahasanya dipinggirkan, diinjak dan dibuang, meskipun sesudah lebih enam dekad negara mencapai kemerdekaan.
Kata Awang, Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menetapkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, tetapi apa yang berlaku hari ini sering bercanggah dengan semangat itu.
Tambahnya lagi, hari ini masih banyak mesyuarat dilangsungkan dalam bahasa asing atau penggunaan bahasa yang bercampur-campur.
“Demikian juga penamaan program sesetengah kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang lebih cenderung memilih bahasa asing seperti Program Food Bank Malaysia, Malaysia Fit, Program MyBrain, Klinik Extended Hours.
“Puluhan nama agensi di pelbagai kementerian dan kerajaan negeri dalam bahasa Inggeris selain maklumat edaran serta peragaan yang tidak bercitra bahasa kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan bahasa Melayu dalam bidang kehakiman pula hanya terhad kepada Mahkamah Majistret dan Mahkamah Rendah.
“Arahan kerajaan penggunaan bahasa Inggeris di institusi pendidikan tinggi sejak 1995 untuk kursus kritikal seperti perubatan, undang-undang dan kejuruteraan turut menghalang perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi.
“Ini menyebabkan penerbitan ilmiah dalam bahasa kebangsaan menjadi suram, dan status bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu kian terjejas,” katanya.

Hal ini katanya, membuatkan dasar bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama di peringkat pendidikan mengalami ‘pasang surut’ susulan pelaksanaan dasar tertentu.
“Kemantapan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama misalnya pernah tergugat apabila Program Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang berlangsung selama kira-kira satu dekad.
“Bagaimanapun, setelah PPSMI dimansuhkan secara bertahap pada tahun 2011, dilaksanakan pula Program Dwibahasa (DLP) yang membina polarisasi, menyebabkan ada pelajar yang diajar dalam bahasa Melayu dan ada pula dalam bahasa Inggeris bagi subjek Sains dan Matematik,” katanya.
Awang yang juga adalah bekas Pengerusi Lembaga Pengelola dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), berkata kelemahan penguatkuasaan bahasa Melayu berpunca daripada keterbatasan kuasa yang diberikan kepada DBP.
“Dalam bidang pengembangan bahasa, tiada peruntukan dalam akta itu yang membolehkan DBP menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu dengan meluas.
“Peruntukan yang diberikan hanya menegur, menasihati dan membimbing,” katanya.
Tambah beliau, akta sedia ada hanya memberikan kuasa pembakuan ejaan, sebutan, tatabahasa dan perkamusan.
“Akta DBP 1959 hanya membenarkan agensi itu membakukan ejaan, sebutan, dan tatabahasa, tanpa kuasa untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu yang meluas di peringkat rasmi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau cukup lega dan bersyukur apabila baru-baru ini Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berjanji akan menyegerakan pindaan Akta DBP 1959.
Tambahnya, sudah lebih dekad percubaan DBP untuk mendapat akta baharu diusahakan.
Akta baharu itu katanya bertujuan supaya gerak kerja organisasi di bawah Kementerian Pendidikan itu lebih berkesan.
Namun sehingga kini urusan pindaan akta berkenaan belum lagi selesai prosesnya di peringkat birokrasi kerajaan sebelum dapat dibentangkan di Parlimen.
Awang berkata, dalam soal memartabatkan bahasa Melayu seperti mana termaktub dalam Perlembagaan, setiap pemimpin negara mahupun institusi perlu untuk melaksanakan dan menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu mengikut Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan undang-undang lain.
Apa yang perlu disemat dalam hati katanya adalah, bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi lambang identiti bangsa.
“Jika kita tidak tegas mempertahankannya, kita akan kehilangan jati diri sebagai warga sebuah negara berdaulat.” katanya.
Dalam masa sama beliau menegaskan terdapat sesetengah kelompok dalam kalangan masyarakat di Malaysia yang kononnya dianggap elit, lebih gemar berbahasa Inggeris.
“Kecenderungan berbahasa asing yang sepatutnya terbatas dalam komunikasi biasa malangnya terbawa-bawa ke dalam bidang urusan rasmi seperti mesyuarat.
“Kita tidak perlu menolak bahasa asing untuk keperluan tertentu tetapi tidak patut sampai menjadikan bahasa asing lebih utama daripada bahasa kebangsaan, ini menyebabkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa yang patut diutamakan dalam semua bidang dengan sendirinya terjejas,” katanya.
Kredit : Berita Harian