Tangani ketidakpadanan kemahiran era automasi, AI

Kemajuan teknologi membawa kepada polarisasi pekerjaan semakin ketara di negara ini dengan pekerjaan separuh mahir bersifat rutin seperti dalam sektor pembuatan dan perkeranian mengalami kemerosotan akibat automasi.

Dalam dua dekad ini, statistik menunjukkan penurunan pekerjaan separuh mahir, manakala pekerjaan berkemahiran tinggi dan rendah meningkat.

Keadaan ini memburukkan ketidaksamaan pendapatan apabila pekerja berkemahiran tinggi menikmati peluang lebih menguntungkan, sementara pekerjaan berkemahiran rendah sering bergaji rendah tanpa banyak peluang peningkatan kerjaya.

Polarisasi ini menyumbang kepada stratifikasi sosial dan mewujudkan jurang semakin ketara dalam pasaran buruh.

Menjelang 2030, dianggarkan 82 juta pekerjaan tidak dapat diisi akibat kekurangan profesional berkemahiran tinggi dalam teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan sains data.

Di negara ini, sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menunjukkan permintaan tinggi terhadap bakat berkemahiran tinggi, namun bekalan bakat tempatan tidak mencukupi.

Laporan TalentCorp menekankan pekerjaan dalam sektor ICT dianggap kritikal, tetapi pengeluaran siswazah teknologi belum mencukupi untuk memenuhi keperluan pasaran dan permintaan padanan kemahiran.

Ini membataskan potensi Malaysia bersaing pada peringkat antarabangsa hingga memerlukan lonjakan reformasi dalam sistem pendidikan dan latihan.

Jurang kemahiran dan ketidakpadanan antara pendidikan serta keperluan pasaran kerja menjadi kritikal di negara ini.

Kajian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendapati terdapat siswazah bekerja dalam jawatan tidak memerlukan kelayakan mereka.

Siswazah sains sosial, perniagaan dan undang-undang sukar mendapatkan pekerjaan berkemahiran tinggi, sementara sektor kritikal seperti kejuruteraan serta teknologi mengalami kekurangan tenaga kerja.

Kurikulum pendidikan tak selari keperluan

Ketidakselarasan antara kurikulum pendidikan dengan keperluan industri memburukkan lagi keadaan. Perubahan radikal dalam pendidikan, termasuk penekanan pada kemahiran praktikal dan pembelajaran sepanjang hayat, diperlukan untuk memastikan siswazah lebih bersedia menghadapi cabaran pasaran kerja.

Automasi juga menjadi ancaman besar kepada pekerjaan rutin berulang, terutama dalam sektor pembuatan, perkeranian dan perkhidmatan.

Pekerjaan sebegini mungkin terjejas dalam dua dekad akan datang dalam skala membimbangkan. Automasi lebih banyak menggantikan pekerjaan separuh mahir, kebanyakannya dipegang pekerja tempatan berstatus warganegara, tetapi pekerja warga asing dalam pekerjaan berkemahiran rendah juga berisiko tinggi.

Ini disebabkan peningkatan agak ketara dalam proses kerja secara automasi. Kesan automasi terhadap pengangguran dan ketidakstabilan sosial tidak boleh diabaikan.

Oleh itu, cabaran teknologi dalam pasaran buruh memerlukan strategi inklusif dengan penekanan pembelajaran sepanjang hayat menjadi kunci memastikan tenaga kerja kekal relevan.

Kerajaan dan institusi pendidikan perlu membangunkan sistem menyokong latihan berterusan, selain akses kepada program peningkatan kemahiran diperluas tanpa bergantung kepada majikan.

Contohnya, subsidi atau baucar latihan boleh disediakan terus kepada pekerja untuk memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan tuntutan sektor baharu, terutama bagi pekerja bebas tidak terikat dengan majikan tetap.

Malaysia perlu merangka strategi inklusif dan inovatif melalui pelaburan dalam Pendidikan Dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta program latihan semula perlu dipertingkatkan.

Ini untuk membolehkan tenaga kerja memperoleh kemahiran relevan, terutama dalam bidang digital dan teknologi. Dasar perlindungan sosial seperti faedah pengangguran dan bantuan mencari pekerjaan perlu diperkuat untuk menyokong golongan pekerja terkesan automasi.

Usaha menggalakkan keusahawanan juga penting dengan memberikan sokongan kewangan, akses kepada pasaran dan teknologi bagi membantu usahawan mikro dan kecil mencipta peluang pekerjaan baharu.

Transformasi ekonomi digital perlu dilakukan secara inklusif dengan memastikan akses kepada teknologi dan internet dapat dinikmati semua lapisan, termasuk di luar bandar.

Menerusi pendekatan menyeluruh, Malaysia bukan sahaja dapat mengurangkan ketidakseimbangan struktur pekerjaan, bahkan memanfaatkan teknologi secara efektif.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *