GEORGETOWN: Penang FC akan bertemu Selangor FC pada aksi separuh akhir Piala Cabaran yang dijadual berlangsung Januari depan.
Terdahulu, skuad Harimau Kumbang yang turun dengan bekalan empat gol tidak berdepan masalah menyingkirkan PT Athletic FC dengan agregat 6-0 selepas melakar kemenangan 2-0 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Bandaraya, di sini, sebentar tadi.
Kapten pasukan, Rafael Vitor meletakkan Penang di hadapan menerusi sepakan penalti pada minit ke-38 selepas Abdul Latiff Suhaimi menjatuhkan Dylan Wenzel-Halls dalam kotak penalti.
PT Athletic terus dirundung malang apabila pengadil, Fitri Maskon sekali lagi menghadiahkan penalti kepada Penang selepas Wenzel-Halls dijatuhkan di dalam kotak penalti buat kali kedua, kali ini oleh pemain tengah, Che Mohamad Arif.
Tidak melepaskan kesempatan terhidang, Vitor sekali lagi menjadi hero pasukan apabila meledak gol kedua Penang menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, rembatan kaki kiri penyerang Penang, Nabil Latpi nyaris menambah derita pasukan berpangkalan di Putrajaya itu namun sempat ditepis keluar oleh penjaga gawang, Syakir Danial Ma’amal Hajri.
PT Athletic cuba bangkit namun semua percubaan kem pelawat tidak berhasil, menyaksikan anak buah Nazrulerwan Makmor terkandas dalam penyertaan pertama saingan Piala Cabaran musim ini.
Kredit : Berita Harian