KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) akan membuat rayuan susulan keahlian mereka digantung oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Sabtu lalu.
Setiausahanya Husin Deraman berkata, KAFA dibatalkan keahlian oleh badan induk bola sepak itu selepas menerima aduan dua persatuan di bawah naungan mereka yang tidak dijemput menghadiri Kongres Tahunan KAFA kali ke-65 dan pemilihan jawatankuasa eksekutif persatuan itu bagi sesi 2024-2028.
Husin berkata, pihaknya menjelaskan ini kerana dua persatuan itu termasuk dalam tujuh persatuan KAFA yang sudah dibatal pendaftarannya oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS).
“Daripada 13 ahli, hanya enam sahaja yang tidak dibatalkan PJS.
“Persatuan yang tidak dibatalkan adalah Persatuan Bolasepak Melayu, Persatuan Bolasepak Jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat dan Gua Musang,” katanya.
Manakala baki lagi tujuh persatuan – Pasir Puteh, Jeli, Machang, Kuala Krai, Bachok serta Persatuan Bolasepak Cina dan Persatuan Bolasepak India tidak dijemput kerana status keahlian terbatal dan tidak layak mengundi selepas pendaftaran dibatalkan PJS.
Husin berkata, Persatuan Bolasepak Pasir Puteh dan Jeli membuat aduan kepada FAM tidak dipanggil ke mesyuarat itu dan memberi kesan kepada KAFA hingga digantung keahlian.
“Saya tidak faham kenapa FAM melayan dua persatuan ini kerana mereka sudah bukan ahli.
“Kami sudah menghubungi FAM dan PJS meminta penjelasan berkenaan isu ini sebelum rayuan rasmi dibuat,” katanya.
Kredit: Berita Harian