‘Saya nampak api pada kipas, katil’ – Pelajar tahfiz

BATU PAHAT: “Saya takut bila lihat api pada kipas dan katil, saya terus turun beritahu ustaz supaya hubungi bomba,” kata Mohd Amirul Arief Mohd Khairul Fadzli, 15, seorang pelajar Maahad Tahfiz Al Johari, di Parit Bingan, Parit Raja, di sini.

Mohd Amirul Arief adalah individu terawal melihat api yang meranapkan asrama menempatkan 29 pelajar, sekali gus menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang dalam kejadian jam 8.15 pagi.

Menceritakan kejadian itu, dia berseorangan naik ke tingkat atas sebaik selesai menjalankan aktiviti bersama rakan lain.

“Bila sampai di atas, saya nampak kipas dinding berapi dan dua katil bertingkat sudah terbakar. Saya takut dan asap mula memenuhi ruang asrama lalu berlari turun memberitahu ustaz.

“Dalam sekelip mata, api membesar dan kami hanya sempat menyelamatkan barang mandian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dia yang berasal dari Kajang, Selangor menuntut di pusat tahfiz terbabit sejak awal pembukaannya tiga tahun lalu.

Katanya, ibu bapanya sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan mereka bersyukur kerana tiada penghuni yang cedera atau sebagainya.

Sementara itu, mudir tahfiz, Amirul Amin Borhan berkata, kejadian itu berlaku dengan pantas dan hanya dalam tempoh 15 minit memusnahkan barangan dalam bangunan berusia tiga tahun.

Menurutnya, api bermula dari kipas dan katil dengan asap tebal mula kelihatan di dalam bangunan asrama itu.

“Punca utamanya kipas yang terbakar menyebabkan anak murid saya tidak sempat menyelamatkan harta benda.

“Di maahad tahfiz ini, ada 48 pelajar tetapi yang tinggal di asrama terbakar adalah 29 orang dan mereka kini ditempatkan di tingkat atas masjid di sini.

“Kebanyakan mereka menghuni asrama itu berusia 15 tahun ke atas manakala yang lain tinggal di bangunan sebelahnya,” katanya.

Sementara, beberapa ibu bapa dan ahli keluarga pelajar tahfiz mula tiba di lokasi sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Dalam pada itu, tukang masak, Hassanudin Abdul Wahab, 45, memberitahu dua anaknya, Muhammad Hasbi Irfan, 19, dan Muhammad Hasid Iqbal, 16, turut tinggal sehelai sepinggang dalam tragedi itu.

Katanya, sebahagian besar daripada mangsa baru tiba di sini tiga hari lalu selepas cuti persekolahan dua minggu berakhir.

“Kami reda dengan kejadian ini, kerana saya tahu, Allah mahu menghadiahkan sesuatu yang kita tidak ketahui untuk pelajar di sini,” katanya.

Kredit: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *