Saman fitnah Tun M terhadap Anwar dibicara Ogos depan

SHAH ALAM: Saman fitnah bernilai RM150 juta yang difailkan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibicarakan pada Ogos depan.

Peguam Dr Mahathir, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, tarikh perbicaraan selama enam hari ditetapkan pada 13 dan 14 Ogos; serta dari 18 hingga 21 Ogos, manakala 25 Februari pula ditetapkan untuk pengurusan kes pra-perbicaraan.

Katanya, tarikh itu ditetapkan ketika pengurusan kes dibuat di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Zaharah Hussain.

Selain Muhammad Rafique, peguam lain yang bertindak bagi pihak Dr Mahathir ialah Nizam Bashir, manakala Aliff Benjamin Suhaimi mewakili Anwar.

Pada Mei 2023, Dr Mahathir memfailkan saman itu terhadap Anwar dengan mendakwa beliau (Anwar) mencemarkan reputasinya dengan menuduhnya sebagai seorang perkauman dan memperkayakan diri serta keluarganya ketika 22 tahun memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Dr Mahathir mendakwa Anwar membuat kenyataan itu dalam ucapan beliau ketika Kongres Khas Kebangsaan PKR yang diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam pada 18 Mac 2023.

Anwar didakwa merujuk kepada seseorang ‘yang pada masa lalu memegang kuasa selama 22 tahun dan tambahan 22 bulan’ sebagai seseorang yang mengambil kesempatan daripada kedudukannya untuk memperkayakan diri dan keluarganya.

Anwar yang tidak menyebut sebarang nama dalam ucapannya di kongres khas parti itu, juga berkata ‘orang ini’ sudah mengadu mengenai orang Melayu yang hilang segala-galanya apabila beliau tidak lagi berkuasa.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak pernah dituduh atau disabitkan kesalahan berkaitan penyalahgunaan kuasa atau penyalahgunaan dana sama ada semasa atau selepas menjadi Perdana Menteri.

Beliau mendakwa, kenyataan dibuat Anwar adalah tidak berasas, hanya berdasarkan khabar angin daripada media dan tidak mempunyai asas.

Dr Mahathir berkata, adalah penting bagi Anwar, sebagai Perdana Menteri yang sedang berkhidmat, untuk memastikan setiap kenyataan dibuat berdasarkan fakta dan bukannya khabar angin daripada media.

Dr Mahathir berkata, semua pendapatannya diaudit bagi memastikan tiada penipuan dalam pembayaran cukai atau sumber pendapatan.

Susulan itu, beliau menuntut RM100 juta sebagai ganti rugi teladan, RM50 juta sebagai ganti rugi am, permohonan maaf bertulis daripada Anwar dan meminta Anwar mengadakan sidang media khas untuk memohon maaf atas kenyataan berkenaan.

Kredit : Beriat Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *