Selarikan pembangunan AI dengan nilai agama, moral

PENGGUNAAN kecerdasan buatan (AI) dalam banyak industri menimbulkan kebimbangan terhadap pengangguran pekerja berkemahiran rendah. Ini kerana AI dijangka mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja manusia, meningkatkan ketidaksamaan ekonomi apabila syarikat memanfaatkan AI memperoleh kelebihan besar berbanding syarikat konvensional.

Bot AI kini mampu berinteraksi dan mempengaruhi tingkah laku manusia, namun ia tidak terlepas daripada kesilapan. AI tidak boleh dianggap neutral kerana ia bergantung pada algoritma dirancang manusia dengan kecenderungan tertentu.

Selain itu, AI mampu mencipta imej, meniru suara dan menghasilkan video palsu, berpotensi digunakan untuk penipuan dan fitnah. Dalam aspek privasi, AI boleh mengumpul data tanpa kebenaran, meletakkan manusia di bawah pengawasan menimbulkan ancaman besar terhadap hak privasi.

Walaupun AI mampu menyelesaikan masalah besar seperti membasmi penyakit, pendekatan diambilnya boleh menghasilkan kesan sampingan tidak diingini. Ia termasuk kebimbangan terhadap potensi AI melancarkan serangan siber secara autonomi.

Pakar juga bimbang AI mungkin mencapai ‘teknologi hidup sendiri’ iaitu AI mengatasi kecerdasan manusia dan menjadi ancaman kepada kemanusiaan.

Oleh itu, penting untuk membangunkan AI beretika dan berlandaskan nilai moral manusia. Undang-undang Robotik Isaac Asimov tidak lagi mencukupi kerana persoalan etika AI kini lebih kompleks.

Ambil kira keutamaan, kod etika manusia

Rangka kerja AI juga perlu mengambil kira keutamaan dan kod etika manusia. Pendekatan ‘pembelajaran pengukuhan’ sedang dikaji untuk memastikan AI bertindak secara beretika, namun lebih banyak usaha diperlukan untuk menambah baik teknologi ini. AI juga harus dikawal supaya tidak menjejaskan potensi manusia atau menggugat kelangsungan hidup insan.

Kerajaan United Kingdom (UK) dalam menangani potensi cabaran AI misalnya menerbitkan laporan bertajuk AI in the UK: ready, willing and able? yang menggariskan lima prinsip asas iaitu:

● AI harus dibangunkan untuk kebaikan bersama dan manfaat manusia.

● AI mesti beroperasi secara adil dan dapat difahami.

● Privasi individu dan hak data mesti dilindungi.

● Semua orang berhak dididik dan berkembang bersama kecerdasan buatan.

● AI tidak boleh digunakan sebagai alat untuk menyakiti atau memusnahkan manusia.

Di samping itu, kod etika AI menerapkan nilai kepercayaan dan akhlak sangat penting. Dari sudut Islam misalnya, agama ini menekankan etika atau akhlak merangkumi semua aspek kehidupan, termasuk undang-undang syariah dan adat.

Nilai ini bertujuan memelihara lima perkara utama iaitu akidah, nyawa, keturunan, akal dan harta. Pendekatan Islam yang mengutamakan adab sebelum menuntut ilmu boleh diterapkan dalam membangunkan AI mengutamakan nilai moral manusia.

AI juga boleh memainkan peranan mengingatkan manusia mengenai tindakan bersesuaian dengan etika. Menerusi pendekatan ini, AI bukan sahaja bertindak secara beretika tetapi membantu manusia menjadi lebih beretika menggunakannya.

Namun, kerjasama antara pakar teknologi dan ulama diperlukan untuk memastikan AI berkembang secara harmoni dengan prinsip ajaran agama dan moral.

Berbekalkan gabungan nilai moral, agama dan teknologi, AI dapat menjadi alat bukan sahaja memberi manfaat kepada manusia tetapi berfungsi secara bertanggungjawab, beretika dan selaras dengan prinsip kehidupan manusia.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Ketua Penyelidikan SMART, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *