KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mengakui masih ada ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan dalam usaha menyajikan persembahan terbaik di hadapan penonton sendiri.
Terdahulu, pasangan nombor enam dunia itu tidak berdepan masalah untuk mengesahkan tiket ke pusingan kedua Terbuka Malaysia selepas mengetepikan cabaran beregu Amerika Syarikat, Presley Smith-Jennie Gai 21-15, 21-19 dalam tempoh 36 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Bagaimanapun, di sebalik kemenangan itu, Soon Huat-Shevon mengakui belum berada pada tahap terbaik mereka.
“Kami buka perlawanan hari ini dengan positif tetapi kami masih lagi mencari rentak dan perlawanan kami juga masih belum sempurna terutama corak permainan saya.
“Mujur pasangan saya (Soon Huat) banyak tolong dan menenangkan saya.
“Saya tahu, bagi pihak saya, banyak perkara yang perlu diperbaiki, kurangkan kesalahan dan perlu lebih konsisten dalam permainan,” katanya selepas tamat perlawanan.

Juara Masters Malaysia 2024 itu kini menjadi antara sandaran utama bagi menjelmakan kejayaan buat negara di laman sendiri selepas beberapa pemain utama negara tersingkir di pusingan pertama semalam termasuk beregu lelaki nombor satu, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah.
Soon Huat-Shevon akan berdepan pasangan India, Sathish Kumar Karunakaran-Aadya Variyath bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.
Soon Huat berkata, mereka akan membuat persediaan lebih baik dan perlu memberi fokus kepada setiap langkah.
“Ketika ini kami sasar ke suku akhir dulu. Jadi untuk pusingan kedua ini tidak boleh hilang fokus.
“Sebabnya Terbuka Malaysia ini adalah perlawanan pertama tahun ini jadi keadaan badan kami agak perlahan sedikit,” katanya.
Pada edisi tahun lalu, langkah Soon Huat-Shevon terhenti di pusingan kedua selepas tewas kepada beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.
Kredit : Berita Harian