Banteras jenayah pemerdagangan manusia perlu strategi kolektif

PEMERDAGANGAN manusia antara isu global paling mendesak terus mencabar nilai kemanusiaan. Ia merujuk kepada eksploitasi individu melalui paksaan, penipuan atau kekerasan bagi tujuan seperti buruh paksa, eksploitasi seksual atau pemerdagangan organ.

Meskipun pelbagai usaha dilakukan kerajaan, termasuk negara luar untuk membanterasnya, realiti semasa menunjukkan masalah ini semakin meruncing dan kompleks.

Sejarah pemerdagangan manusia bukan sesuatu yang baharu. Ia wujud sejak zaman peradaban awal, apabila manusia dijadikan komoditi untuk keuntungan ekonomi.

Namun, pada era moden ini, ia berkembang dengan jaringan lebih tersusun, membabitkan sindiket jenayah antarabangsa yang memanfaatkan teknologi canggih dan kelemahan sistem perundangan di pelbagai negara.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menganggarkan lebih 27 juta mangsa pemerdagangan manusia di seluruh dunia dalam tempoh beberapa dekad ini, dengan lima juta daripadanya terperangkap dalam eksploitasi seksual paksa.

Trend pemerdagangan manusia menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa dekad kebelakangan ini, dipacu globalisasi, konflik bersenjata dan kemiskinan melampau.

Zon konflik seperti Syria dan Myanmar menjadi ladang pemburuan untuk sindiket pemerdagangan manusia. Teknologi moden, termasuk media sosial, kini digunakan sebagai alat memerangkap mangsa dengan tawaran pekerjaan palsu atau hubungan romantik dimanipulasi.

Statistik terkini menunjukkan angka membimbangkan. Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) melaporkan lebih satu juta kanak-kanak menjadi mangsa pemerdagangan manusia setiap tahun.

Di Asia Tenggara sahaja, puluhan ribu wanita dan kanak-kanak diperdagangkan untuk tujuan eksploitasi seksual serta perkahwinan paksa. Negara seperti Amerika Syarikat (AS), walaupun maju, turut menjadi destinasi utama bagi mangsa pemerdagangan manusia datang dari negara membangun.

Kesan pemerdagangan manusia sangat meluas, sama ada dari segi perundangan, mahupun sosioekonomi. Dalam aspek undang-undang, meskipun banyak negara meratifikasi Protokol Palermo iaitu konvensyen bersama negara dunia mencegah pemerdagangan orang, keberkesanan penguatkuasaan undang-undang masih lemah.

Mangsa derita trauma fizikal, mental

Banyak kes pemerdagangan tidak dilaporkan kerana ketakutan mangsa terhadap sindiket atau kurangnya sokongan undang-undang serta perlindungan mangsa. Dalam beberapa kes, pegawai penguat kuasa sendiri terbabit atau bersubahat dengan sindiket.

Dari segi sosioekonomi, mangsa sering kali menderita trauma fizikal dan mental berpanjangan, kehilangan peluang pendidikan dan kemerosotan kualiti hidup. Keluarga mereka turut terkesan, terutama apabila kehilangan tunjang keluarga yang menjadi satu-satunya pencari nafkah kehidupan.

Negara menjadi destinasi mangsa pemerdagangan manusia ini juga menanggung kos besar untuk menangani isu ini.

Ia termasuk untuk menyediakan pusat perlindungan, proses pemulihan dan penguatkuasaan undang-undang lebih ketat.

Masa depan isu pemerdagangan manusia bergantung kepada kesediaan masyarakat global untuk bertindak secara kolektif. Teknologi terutama digital yang kini menjadi alat sindiket, boleh digunakan untuk membongkar rangkaian jenayah ini.

Kesedaran awam perlu dipertingkatkan, terutama dalam kalangan golongan rentan, supaya mereka lebih peka terhadap taktik digunakan sindiket pemerdagang domestik dan antarabangsa.

Pemerdagangan manusia adalah luka mendalam dalam sejarah kemanusiaan. Ia mencerminkan ketidakadilan dan kelemahan sistem global sering mengutamakan keuntungan berbanding nilai manusiawi.

Melawan masalah ini memerlukan usaha bersepadu membabitkan semua pihak, termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan individu. Hanya dengan kesungguhan kolektif, kita dapat mengubati luka ini dan memastikan masa depan lebih bermaruah untuk sejagat.

Penulis adalah Felo Bersekutu di Institut Sains Islam (ISI), Universiti Sains Islam Malaysia

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *