SPRM tingkat siap siaga pegawai, manfaatkan AI buru perasuah

Secanggih manapun teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), manusia tetap menjadi faktor terpenting dalam memastikan sesuatu entiti dapat melaksanakan tanggungjawabnya ketika pelbagai tentangan berada di hadapan.

Sebab itulah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited memperkukuh kesiapsiagaan pegawai untuk berdepan pelbagai cabaran, seiring aspirasi kerajaan pada era pendigitalan dan penggunaan teknologi canggih.

Komitmen itu terserlah seperti diungkapkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 apabila menegaskan langkah ini bertujuan memastikan SPRM mampu menangani isu rasuah dengan lebih berkesan serta memberi impak tinggi kepada masyarakat.

Dalam dunia semakin mencabar, beliau mengingatkan SPRM perlu sentiasa bergerak seiring perkembangan pantas teknologi dan perubahan persekitaran sosial untuk memastikan keberkesanan dalam setiap tindakannya.

Dalam usaha meningkatkan keberkesanan operasi, pegawai SPRM digalakkan bertindak secara proaktif, tetapi bukan hanya tertumpu kepada siasatan kes rasuah, bahkan perlu membabitkan aktiviti pencegahan lebih meluas.

Perlu diingat, aktiviti pencegahan merangkumi dua elemen penting, iaitu pengurusan tatakelola baik dan program pendidikan antirasuah kepada kumpulan sasar merangkumi pelbagai bidang.

Menerusi pendekatan ini, kesedaran masyarakat terhadap bahaya rasuah diharap terus meningkat dan menjadi benteng utama dalam membanteras amalan tidak beretika.

Melalui pembabitan masyarakat secara aktif dalam program pendidikan antirasuah, SPRM juga dapat mengukuhkan usahanya membentuk masyarakat lebih telus dan berintegriti tinggi.

Justeru, antara aspek utama diberi perhatian ialah peningkatan kemahiran dan pengetahuan pegawai SPRM. Latihan berkala dalam pelbagai bidang akan terus dijalankan bagi memastikan pegawai sentiasa bersedia menghadapi sebarang situasi.

Tambahan pula, latihan disediakan bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan semasa, bahkan memenuhi harapan tinggi masyarakat terhadap SPRM sebagai agensi penguatkuasaan berwibawa.

Dengan menyediakan pegawai terlatih dan berpengetahuan luas, SPRM mampu mengekalkan tahap profesionalisme tinggi serta membina kepercayaan awam.

Pegawai juga akan dilatih untuk menggunakan teknologi terkini bagi mempercepatkan proses siasatan dan meningkatkan ketepatan data diperoleh.

Selain peningkatan kapasiti pegawai, SPRM menekankan kepentingan memperkemas struktur organisasi dan kaedah pelaksanaan tugas. Ini membabitkan penilaian semula prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi memastikan ia kekal relevan dan efektif dalam menghadapi cabaran semasa.

Pendekatan holistik 

Pendekatan holistik ini menunjukkan kesungguhan SPRM dalam menangani isu rasuah secara menyeluruh. Dengan menggabungkan tindakan penguatkuasaan tegas dan usaha pencegahan menyeluruh, SPRM berharap dapat mencapai matlamat jangka panjang dalam mengurangkan gejala rasuah di negara ini.

Namun, kerjasama semua pihak, termasuk sektor awam, swasta dan masyarakat umum amat diperlukan bagi memastikan kejayaan usaha ini.

Sebagai contoh, SPRM kerap mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta dalam kempen kesedaran antirasuah seperti Majlis Ikrar Bebas Rasuah atau sambutan Hari Integriti bagi memperluaskan lagi impak usahanya di seluruh negara.

Dalam dunia semakin canggih dan berteknologi tinggi, cabaran terhadap integriti dan ketelusan semakin rumit. Oleh itu, penggunaan teknologi terkini seperti pendigitalan dan AI menjadi langkah bijak yang dapat membantu SPRM meningkatkan kecekapan operasi.

Teknologi ini bukan sahaja dapat mempercepatkan proses siasatan, bahkan mengurangkan risiko kesilapan manusia.

Selain itu, teknologi berperanan penting dalam memantau aktiviti mencurigakan dan mengesan sebarang bentuk penyelewengan lebih awal.

Sistem data analitik canggih juga akan membantu SPRM membuat keputusan berdasarkan bukti kukuh yang amat penting dalam membantu mempercepat proses siasatan dan membuat keputusan tepat.

Secara keseluruhannya, usaha SPRM untuk meningkatkan kesiapsiagaan pegawai adalah langkah proaktif yang wajar mendapat sokongan semua pihak.

Melalui usaha berterusan dalam memperkasa pengetahuan, kemahiran dan kecekapan pegawai, SPRM menunjukkan komitmen tinggi terhadap tugasnya sebagai entiti tunggal dipertanggungjawabkan untuk mencegah jenayah rasuah di negara ini.

Dengan memperkemaskan struktur dalaman dan memanfaatkan teknologi terkini, diharapkan SPRM akan terus menjadi agensi penguatkuasaan unggul dan dihormati.

Lebih penting lagi, SPRM harus sentiasa menilai keberkesanan setiap langkah diambil agar ia terus relevan dalam menghadapi cabaran masa depan.

Komitmen ini bukan sahaja penting dalam memastikan keberkesanan agensi berkenaan, bahkan dalam membina keyakinan masyarakat terhadap keupayaan kerajaan memerangi rasuah.

Jika semua inisiatif ini dilaksanakan dengan jaya, ia bukan sahaja akan memberi kesan positif kepada SPRM, tetapi juga kepada kesejahteraan negara secara keseluruhan.

Justeru, usaha mengekalkan kecemerlangan dan prestasi tinggi SPRM perlu disokong semua pihak bagi memastikan Malaysia menjadi negara bebas rasuah.

Dengan adanya sokongan padu daripada pelbagai lapisan masyarakat, matlamat negara mencapai kedudukan ke-25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dalam tempoh 10 tahun akan datang tidak mustahil untuk dicapai.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *