JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) bersedia meneruskan momentum kemenangan apabila sekali lagi berdepan Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok.
Selepas skuad kendalian Hector Bidoglio menang bergaya ke atas barisan Badrul Afzan Razali 4-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia minggu lalu, skuad Harimau Selatan kembali ke Kuala Terengganu untuk memburu tiga mata dalam usaha berada di landasan tepat memburu kejuaraan liga pada musim 2024/2025.
Bidoglio berkata, aksi saingan liga berbeza berbanding pertemuan separuh akhir piala berprestij itu, malah mereka perlu tampil dengan corak permainan lebih dinamik dan agresif bagi mengintai tiga mata.
“Apa yang diutamakan, kami harus memberi fokus terhadap diri sendiri berbanding memikirkan pasukan TFC dan harus terus berkembang dengan setiap pemain harus berada di tahap permainan yang terbaik.
“Walaupun kami menang 4-0 pada aksi Piala Malaysia, tapi saya tetap menghormati TFC yang memiliki barisan pertahanan yang sukar ditewaskan malah mereka begitu berdisiplin apabila membentuk benteng yang ampuh,” katanya.
Namun pengendali kelahiran Argentina itu mengesahkan masih belum dapat menggunakan khidmat tiga pemainnya iaitu Feroz Baharudin, Shio Hong Wan dan Syami Safari yang belum pulih daripada kecederaan dan berharap ketiga-tiga pemain dapat kembali menyertai pasukan itu dalam masa terdekat.
“Menyedihkan apabila saya kehilangan tiga pemain yang begitu penting buat JDT dan berharap mereka segera pulih dan kembali menjalani latihan walaupun saya tahu mereka perlukan masa untuk pulih sepenuhnya,” ujar Bidoglio
Kredit : Berita Harian