KUALA LUMPUR: Jika diikutkan nasihat doktor, Ernie Zakri diminta usah bercakap atau mengehadkan penggunaan vokal selagi berdepan masalah jangkitan laryngitis atau radang pita suara sejak seminggu lalu.
Namun, dek janji dengan peminat, ditambah semangat dan sokongan suami tercinta, Syamel, Ernie bangkit mementaskan Aura: Ernie Zakri Live in Concert di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara, kelmarin.
Biarpun berdepan ujian yang memberi impak besar kepada kualiti vokal yang menjadi ‘tanda dagang’ Ernie selama ini, penyanyi Masing Masing ini tampil bertenaga dalam jeritan peminat yang memberi sokongan sebaik kelibatnya muncul di pentas.
Barangkali sebaik lagu pertama, Aura, dipersembahkan, peminat boleh membaca riak wajah dan mendengar tahap vokal Ernie, sekaligus membayangkan apakah penyanyi ini mampu bertahan dua jam untuk menjayakan konsert solo pertama itu.
Hasilnya, sebanyak 23 lagu didendangkan Ernie, mengotakan janjinya untuk memberi yang terbaik kepada peminat, sekalipun diuji masalah kesihatan.

Di pentas itu, Ernie bagai berkongsi cerita perjalanan seninya melalui lagu-lagu indah seperti Persis Kartasis, Boneka, Terima Seadanya, Gelita, Satu Cinta, Astana, Ayuh, Misteri, Masing-Masing, Gundah, Rindu Bukan Teman, Jangan Hilang Percaya, Jangan Marah, Ini Yang Ku Mahu dan The Best.
Cukup mengujakan, Ernie mengundang Ade Govinda untuk menyampaikan lagu popular mereka, Hal Hebat dan berduet dengan anggota kumpulan Dolla, Sabronzo, menerusi lagu Luv. Sudah pasti, Syamel turut mewarnai konsertnya dengan persembahan lagu duet mereka iaitu Aku Cinta dan Die With A Smile, yang dipopularkan oleh Bruno Mars dan Lady Gaga.
Segmen menyentuh hati, Ernie memperdengarkan lagu yang ditujukan khas buat anaknya, Nur Khawla Soleha berjudul Tercipta Sempurna.
Bertemu Ernie usai konsert, penyanyi berusia 32 tahun ini mengaku ketika mempersembahkan lagu pertama, Aura, terlintas keraguan dalam diri, apakah mampu meneruskan persembahan.
“Macam-macam bermain dalam kepala ketika ‘opening’. Saya terfikir sama ada mahu teruskan atau tidak, apakah saya boleh atau tidak. Tetapi, saya buang semua pemikiran negatif dan beri yang terbaik,” katanya.
Biarpun tidak dapat berkongsi banyak, Ernie mengaku berdepan masalah radang peti suara, kira-kira seminggu sebelum konsert dipentaskan.
“Saya sudah disarankan doktor untuk tidak bercakap langsung. Sudah tentu saya berdegil, apatah lagi, ini konsert solo pertama. Saya takut peminat tidak berpuas hati. Namun, ini semua kerja Allah.
“Allah beri rezeki malam ini (kelmarin). Saya dapat menyanyi, itu sudah cukup. Saya hilang suara sejak kira-kira seminggu lalu. Hari ini (kelmarin), keadaan masih tidak mengizinkan.
“Alhamdulillah, doktor periksa saya pada jam 6 petang dan beri suntikan terakhir. Saya reda dan tawakal. Itu yang mampu saya buat. Saya harap peminat suka dan berpuas hati.
“Sepanjang konsert, saya harap boleh bercakap dengan peminat saya, itu kesukaan saya. Namun, apa daya, keadaan tidak mengizinkan,” katanya.
Ernie bersyukur penganjur konsert, SAH Entertainment yang diasaskan penyanyi kelahiran Singapura, Sufie Rashid faham masalah radang peti suara dialaminya.
“Saya sudah menjaga yang termampu, namun, terjadi juga. Alhamdulillah penganjur faham dan kami berbincang mencari penyelesaian. Saya bersyukur Sufie sangat memahami masalah yang saya hadapi.
“Terima kasih kepada peminat. Saya tahu mereka sudah beli tiket dan saya takkan membatalkan konsert ini. Saya kena ‘redah’ sebab tahu ada peminat yang datanga ke sini naik kapal terbang. Jadi, saya takkan maafkan diri sendiri kalau saya batalkan konsert.
“Benar, saya terfikir untuk membatalkan konsert ini seminggu lalu. Namun, saya tidak ambil keputusan itu,” katanya.
Ernie disaran berehat antara dua hingga tiga minggu sebelum menjayakan Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39 di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 16 Februari depan. Pada anugerah pencarian lagu berprestij itu, Ernie mempertaruhkan single Aura.
Melalui hari sukar, Ernie bersyukur mendapat sokongan dan semangat Syamel.
“Suami saya adalah kekuatan saya. Seminggu ini, saya tidak boleh berfungsi jika dia tiada. Saya pegang tangan suami. Syamel juga penyanyi, jadi, dia faham apa yang ada dalam hati saya.
“Syamel faham saya takut dan sedih. Saya mengaku apa yang dialami dianggap titik terendah sepanjang karier. Ini konsert solo pertama saya. Namun, ini semua rezeki Allah.
“Saya juga berterima kasih kepada anak. Dalam tempoh sebulan, saya tiada masa untuk Khawla. Inilah yang dikatakan pengorbanan untuk wanita seperti saya. Tidak semua yang kita harapkan, kita dapat,” katanya.
Kredit : Berita Harian