KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan rasmi selama dua hari Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev ke Malaysia memperkukuh hubungan akrab kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.
Anwar menerusi hantaran di Facebook turut menzahirkan keyakinan bahawa lawatan Mirziyoyev itu mampu memberi manfaat yang maksimum kepada Malaysia serta rakyat.
“Insya-Allah, hubungan Malaysia dan Uzbekistan akan terus erat dan diperhebat sebaiknya,” katanya.
Perdana Menteri dalam hantaran sama turut berkongsi beberapa gambar beliau meraikan Mirziyoyev dalam satu majlis makan malam di Menara Berkembar Petronas (KLCC) di sini, malam tadi sebagai acara penutup kepada lawatan dua hari Presiden itu.
Mirziyoyev tiba di Malaysia kelmarin untuk lawatan rasmi atas jemputan Perdana Menteri dan diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
Presiden Uzbekistan bersama delegasinya berlepas pulang ke Tashkent pada 8.50 malam menaiki pesawat Uzbekistan Airways.
Kredit : Berita Harian