KUALA LUMPUR: Formula pendekatan sasaran pingat Sukan SEA 2025 di Thailand mengikut jumlah pingat keseluruhan dan tidak mengikut warna pingat dikhuatiri boleh menjadikan atlet ‘manja’.
Bukan menafikan usaha keras yang sudah dilakukan atlet namun bagi Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Seremban, Dr Radzliyana Radzuwan, pendekatan itu mungkin mengheret kepada situasi berkenaan memandangkan tiada tekanan diletakkan di bahu mereka untuk memburu kilauan emas.
“Betul (sasaran tanpa mengikut warna pingat), atlet akan menjadi manja, kurang fokus dan lebih rileks,” kata Radzliyana ketika dihubungi BH Sukan.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat memaklumkan penetapan sasaran pingat bagi temasya Sukan SEA 2025 adalah mengikut jumlah pingat keseluruhan dan tidak mengikut warna pingat.
Hannah berkata, penetapan itu turut mengambil kira saranan pakar di Nippon Sports Science University (NSSU), malah pendekatan itu juga adalah amalan yang sudah lama dilaksanakan di beberapa negara seperti Jepun, Korea, Iran, Singapura dan Hong Kong.
Katanya, penetapan pingat emas memberikan tekanan berlebihan kepada atlet untuk mempamerkan prestasi terbaik di temasya sukan antarabangsa.
Biarpun begitu, Radzliyana secara peribadi tidak bersetuju dengan kenyataan Hannah yang baginya, warna pingat sama ada emas perak ataupun gangsa memainkan peranan penting dalam menentukan kedudukan Malaysia dalam kalangan negara yang bertanding.
“Cadangan penetapan YB (Hannah) tidak salah, cuma lebih baik jika dapat diperincikan berapa bilangan pingat emas, perak dan gangsa.
“Secara tidak langsung, ia memberi mesej kepada semua atlet dan persatuan sukan di Malaysia terutama acara yang ada dipertandingkan untuk lebih serius dan tambah giat berusaha bagi memperoleh emas.
“Isu tekanan berlebihan kepada atlet tidak timbul kerana saya percaya atlet dan jurulatih sentiasa bekerja keras dan mereka sasarkan untuk memberikan yang terbaik demi negara dan itu semestinya pingat emas.
“Apapun, adat dalam pertandingan, menang dan kalah itu biasa tetapi mesti cuba yang terbaik. Sebenarnya penetapan warna pingat juga tidak dibuat secara semberono kerana atlet, jurulatih mahupun persatuan tahu dan yakin dengan kemampuan masing-masing.
“Penetapan sasaran warna pingat sebenarnya membantu atlet dan persatuan sukan untuk menjadi lebih fokus kepada pencapaian mereka secara maksimum.
“Ia turut membantu negara menyusun strategi dalam mempersiapkan atlet untuk bertanding dalam acara sukan antarabangsa yang seterusnya,” katanya.
Kredit : Berita Harian