Aliff Rakib Tumbangkan Lawan Dalam 70 Saat

Aliff Rakib Tumbangkan Lawan Dalam 70 Saat 

Petinju Muay Thai negara, Nor Iman Aliff Rakib yang kini menetap di Thailand, berjaya menumbangkan lawannya, Shamil Adukhov di ONE Championship hanya selepas 70 saat perlawanan dimulakan, lapor Stadium Astro.

Perlawanana yang berlangsung pagi tadi di Bangkok menyaksikan Aliff menghantar tumbukan hook kiri pada pihak lawan. Tumbukan petinju kategori catchweight itu disusuli dengan tumbukan jab kanan dan menyebabkan pihak lawan tumbang.

Adukhov cuba bangkit sebelum tamat kiraan namun tumbukan yang hinggap di mukanya tadi menghalang dan disahkan tidak dapat meneruskan pertarungan.

Ini merupakan kemenangan ketiga berturut-turut Aliff dalam kejohanan dunia tersebut dan menjadikan rekodnya 7-2 dalam ONE Championship.

Menurut Gempak, kemenangan ini memberikan Aliff membawa pulang bonus sebanyak USD50,000 (RM222,000).

Bermula seawal usia 7 tahun, Aliff dilatih oleh bapanya yang juga bekas petinju Muay Thai ketika mereka menetap di Kota Bharu.

“Saya mula berkecimpung dalam seni mempertahankan diri sebab ayah saya bekas petinju Malaysia. Dia pernah bertarung menentang Somjit Jongjohor dalam Kejohanan Sukan SEA.

“Tapi (waktu kecil) saya tak suka sebab saya tak dapat luangkan masa bermain dengan kawan-kawan. Saya terpaksa berlatih lepas sekolah jadi saya tak ramai kawan,” kongsinya menerusi temubual bersama ONE FC.

Namun begitu, setiap kejayaan dihadiahkan kepada bapanya yang tidak pernah berhenti memberi sokongan.

“Ayah bawa saya ke bermacam tempat untuk berlawan. Malah, kami habiskan lebih banyak wang untuk perjalanan itu berbanding wang kemenangan yang kami perolehi. Secara keseluruhannya, memang keluarga saya yang menampung kewangan saya.

“Ayah merupakan idola saya. Dia sokong saya dalam segala segi. Dia nak saya jadi lebih berjaya daripada dia. Sekarang pun saya dah berjaya merangkul pingat emas ketika bertarung di Kejohanan Sukan SEA yang ayah tak dapat nak raih,” tambahnya lagi.

Meneruskan kerjayanya, Aliff telah berjaya meraih pingat emas di IFMA Bangkok pada 2021, seterusnya Abu Dhabi pada 2022 dan memenangi Kejohanan Asia Tenggara 2022 di Vietnam.

Setelah itu, Aliff mula menetap di Thailand bagi mendapatkan latihan khusus di Sor Dechapan Gym di Bangkok.

Kerjaya atlet muda ini semakin menyerlah apabila menerima kontrak sepenuh masa enam angka bersama ONE Championship pada tahun lalu melalui rekod empat perlawanan yang mengagumkan di platform ONE Friday Fights.

Menerusi rekod perlawanan, Aliff menamatkan satu perlawanan dengan keputusan TKO manakala empat lagi knockout sejak menyertai ONE Championship.

Kredit : Siakap Keli

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *