Tingkat potensi industri getah, sawit dan emas negara

Malaysia terus mencatatkan peningkatan dalam prestasi perdagangan pada 2024 dengan lebihan dagangan sebanyak RM136.88 bilion, jelas menunjukkan ekonomi negara kekal berada di landasan yang baik.

Bagaimanapun, perubahan dinamik perdagangan dunia dan ketidakstabilan politik antarabangsa memberi kesan besar kepada sektor tradisional negara, terutama industri getah, sawit dan emas.

Walaupun industri ini memiliki potensi besar merancakkan aktiviti perdagangan negara, ia memerlukan pengurusan lebih cekap dan responsif terhadap perubahan itu untuk kekal kompetitif di pasaran global.

Dalam industri getah, isu utama dihadapi negara adalah produktiviti pekebun kecil kita hanya sekitar 1,300 hingga 1,450 kilogram per hektar (kg/hektar) setahun, jauh ketinggalan berbanding Thailand mencapai 1,800 kg/hektar setahun. Ini terjadi kerana lebih 85 peratus pekebun kecil berusia lebih 50 tahun dan menggunakan teknologi lama.

Laporan Ketua Audit Negara 2022 menunjukkan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) kita lebih tertumpu kepada sektor hiliran berbanding huluan, yang mana seharusnya menjadi fokus utama memajukan industri ini.

Sebagai contoh, Vietnam dan Thailand menggarap strategi lebih efektif, sehingga mampu meningkatkan produktiviti penghasilan getah di negara mereka.

Ada keperluan untuk Malaysia mewujudkan Dana Teknologi Tinggi Industri Getah yang dapat menarik kerjasama syarikat tempatan dan antarabangsa dalam membangunkan R&D berasaskan polimer.

Selain itu, program latihan khusus dalam kejuruteraan polimer dipergiat di universiti tempatan, seperti dilakukan Jerman melalui kerjasama di antara Continental AG dan Universiti Hanover yang akhirnya dapat membangun bakat berkualiti dalam negara.

Tambah nilai industri sawit

Prospek industri sawit pula menampakkan dilihat strategi pengurusan industri sawit negara masih belum mencapai potensi sebenar. Walaupun Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) diiktiraf antara terbaik dunia, harga sawit mentah kita sering terjejas oleh turun naik pasaran global tidak menentu.

Pada masa ini, Malaysia masih bergantung sebanyak 80 peratus pada eksport minyak sawit mentah seperti dapatan Bank Dunia pada 2023.

Jika kita lihat, Indonesia sebagai pengeluar utama sawit dunia sudah melaksanakan Dasar Biodiesel Mandatori B35-B40 sejak 2020 untuk menstabilkan permintaan domestik.

Ini menunjukkan ada keperluan mendesak untuk beralih kepada produk bernilai tinggi seperti oleokimia dan biodiesel, bukan sekadar minyak mentah tanpa strategi nilai tambah.

Di samping itu, kita masih terperangkap dalam dilema Volume vs Value. Walaupun eksport ke Kesatuan Eropah (EU) hanya menyumbang 14 peratus daripada eksport sawit Malaysia pada 2023, kadar premium EU secara pro rate adalah lebih tinggi berbanding India dan China.

Selain memandang India dan China sebagai pasaran berdasarkan volume, kita perlu melihat EU sebagai pasaran volume yang akhirnya memberi pulangan tinggi.

Tambahan juga, EU kekal pemegang utama eksport minyak inti sawit (PKO) sejak lima tahun berturut turut. Maka, usaha promosi berterusan di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) perlu lebih dipergiatkan.

Ini juga dapat memperbetulkan persepsi negatif terhadap minyak sawit yang sering kali dibayangi Peraturan Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR) dan larangan import.

Potensi emas belum dimanfaat

Walaupun Malaysia kaya dengan sumber emas, kita belum memanfaatkan sepenuhnya potensi emas sebagai sumber ekonomi. Dengan pengeluaran sekitar 1.8 hingga 4.6 tan setahun, Malaysia hanya menyumbang 0.06 peratus pengeluaran emas dunia.

Pengurusan sumber emas masih terpecah antara kerajaan negeri melalui Enakmen Mineral Negeri, menimbulkan persoalan perlunya

kerangka pengurusan lebih menyeluruh dan efisien.

Salah satu cabaran besar adalah ketidaksamaan kadar royalti antara negeri. Laporan Audit Negara 2019 menunjukkan potensi kebocoran hasil negara akibat ketidaksamaan ini. Maka, kerajaan perlu menyelaraskan kadar royalti untuk memastikan nilai emas

dieksport dapat mencerminkan hasil sebenar.

Penemuan deposit emas bernilai tinggi di beberapa negeri menunjukkan potensi besar belum diterokai sepenuhnya. Malah, kajian

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) pada 2021 menunjukkan nilai mineral logam, termasuk emas mencapai RM1.03 trilion.

Dengan teknologi moden seperti ‘bio-leaching’ dan pengesanan satelit, kita berpotensi meningkatkan pengeluaran emas.

Selain perlombongan, industri emas membabitkan pembuatan barang kemas, kewangan Islam (dinar emas) dan pelancongan.

Walaupun permintaan global terhadap barang kemas meningkat, Malaysia belum memaksimumkan potensi dalam sektor ini.

Oleh itu, program kerjasama pensijilan emas antarabangsa seperti dilakukan Argentina

perlu dipertimbangkan untuk meningkatkan nilai eksport emas Malaysia. Rizab emas negara juga perlu dipertingkatkan.

Kerajaan mungkin perlu mengkaji model Gold-Backed Currency Reserve bagi meningkatkan kedudukan ringgit seperti dilakukan Russia dan China.

Apa yang penting, strategi yang betul dan kerjasama antara kerajaan, industri serta institusi penyelidikan membolehkan Malaysia kembali menjadi peneraju utama industri getah, sawit dan emas.

Ini bukan sahaja memperkukuhkan ekonomi negara, tetapi memberi manfaat kepada

masyarakat, membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan negara.

Penulis adalah Ahli Parlimen Paya Besar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Kewangan dan Ekonomi)

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *