Putrajaya: Usul bagi menyeragamkan beberapa agensi kerajaan akan dibentangkan dan diputuskan pada mesyuarat Kabinet dalam tempoh terdekat kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, usul itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam melaksanakan reformasi institusi yang harus dilaksanakan.
“Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Datuk Seri Asri Hamidon) sudah saya tugaskan untuk memberi beberapa usul bagi menyeragamkan beberapa agensi dan dibawa kepada Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar).
“Saya akan putuskan selepas dibentangkan ke mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa singkat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Pada 3 September tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan bagi menangani isu pertindihan fungsi badan berkanun sekali gus disasar dapat memberi penjimatan dana negara.
Jawatankuasa itu akan bertugas serta-merta dalam usaha kerajaan melaksanakan reform atau pembaharuan membabitkan perkhidmatan awam.
Susulan pengumuman berkenaan, Ketua Setiausaha Negara mengumumkan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Seri Asri Hamidon dilantik untuk mengetuai jawatankuasa berkenaan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengarahkan supaya mana-mana agensi kerajaan tidak lagi menubuhkan syarikat di bawahnya tanpa kelulusan peringkat tertinggi.
Jelasnya, ia kerana terdapat ribuan syarikat berkenaan yang mencatatkan kerugian besar.
“(Jika kita) memutuskan membatalkan (syarikat ini), ia bukan perkara mudah tetapi jika wajib kita lakukan, kita harus lakukan kerana ia memaknai reformasi institusi,” katanya.
Kredit : Harian Metro