Pembangunan Sabah tepis gelora politik menjelang PRN

TEMPOH penggal semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah adalah sehingga Oktober. Menjelang tarikh itu atau jika kerajaan negeri sedia ada mentadbir lagi sekitar lapan bulan sehingga DUN terbubar, bermakna Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sudah mengetuai pentadbiran negeri itu selama kira-kira lima tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah pada 29 September 2020, tiga hari selepas istiadat angkat sumpah barisan ADUN baharu.

Selama tempoh itu, tidak dapat dinafikan banyak perubahan besar disaksikan dalam landskap politik dan pembangunan negeri. Hal siasah di Sabah lebih stabil, negeri juga terus maju dengan pelan pembangunan strategik dan berdaya tahan.

Antara perancangan signifikan adalah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dibentangkan pada Januari 2021, menjadi asas pembangunan negeri itu yang memberi tumpuan kepada tiga elemen utama.

Elemen pertama, Sektor Pertumbuhan Ekonomi: Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan, diikuti elemen Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat: Memajukan Pendidikan, Keusahawanan dan Kesejahteraan Sosial serta elemen terakhir, Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau: Meningkatkan Infrastruktur Asas dan Mengekalkan Kelestarian Alam Sekitar.

Pelan ini membawa pelbagai kejayaan, antaranya berjaya melonjakkan nilai perdagangan Sabah mencapai RM118.1 bilion pada 2022 dan rekod pelaburan pula melebihi RM33 bilion.

Setiap belanjawan tahunan, bermula 2021, ketika negara dan dunia masih diancam pandemik COVID-19, disusun dengan fokus kepada pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan tadbir urus kewangan berhemah.

Belanjawan 2021 sebanyak RM4.3 bilion bertemakan ‘Rakyat Sejahtera, Ekonomi Mampan’, fokus kepada pembangunan ekonomi pasca pandemik COVID-19. Cukai Jualan Negeri daripada petroleum menjadi penyumbang utama hasil dengan RM1.25 bilion.

Di bawah belanjawan berkenaan, bantuan khas RM600 disalurkan kepada setiap penjawat awam negeri, selain tumpuan kepada pembangunan pendigitalan perkhidmatan awam dan ekonomi digital.

Menyusul 2022, belanjawan bagi tahun berkenaan ditambah menjadi RM4.596 bilion. Bertemakan ‘Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera’, bajet berkenaan masih fokus kepada pemulihan ekonomi.

Pencapaian siginifikan direkodkan tahun itu adalah anggaran hasil tertinggi Sabah sejak merdeka dengan RM4.912 bilion, selain Perjanjian Komersial Minyak dan Gas (CCA) dimuktamadkan, sekali gus memastikan perkongsian hasil lebih besar untuk negeri.

Belanjawan 2023 pula sebanyak RM5.138 bilion bertemakan ‘Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera’. Ia peruntukan tertinggi dalam sejarah Sabah setakat tahun itu, fokus kepada infrastruktur asas dan kesejahteraan rakyat dan menerima agihan tertinggi kepada Kementerian Kewangan serta Kementerian Kerja Raya.

Bagi Belanjawan 2024 dengan tema ‘Sabah Teguh, Rakyat Terbela’, peruntukan bertambah kepada RM5.701 bilion, yang utama RM950 juta diperuntukkan kepada Kumpulan Wang Pembangunan, selain bantuan kewangan khas RM2,000 kepada penjawat awam negeri dan peruntukan bagi menangani isu keterjaminan makanan serta infrastruktur awam.

Belanjawan 2025 yang terbesar setakat ini dalam sejarah negeri. Sebanyak RM6.421 bilion diperuntukkan dalam bajet bertemakan ‘Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera’ itu, memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan strategik dan mengunjurkan kutipan hasil RM6.445 bilion, termasuk Cukai Jualan Negeri RM2.597 bilion.

Percepat pelaksanaan projek Pan Borneo

Kutipan hasil Sabah mencecah RM7 bilion pada 2024, pencapaian tertinggi dalam sejarah negeri itu dengan pelaburan langsung asing dan domestik pula berjumlah lebih RM33 bilion, mencipta peluang pekerjaan serta menggerakkan sektor ekonomi utama.

Kerajaan Sabah mempercepatkan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sabah Sarawak Link Road. Peruntukan besar diberikan untuk Kementerian Kerja Raya membina jalan raya dan memastikan rakyat menerima bekalan elektrik serta air bersih.

Pelbagai program seperti Sabah Talent and Entrepreneurship Program (STEP) dan latihan keusahawanan di bawah Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) dilaksanakan dengan dibiayai peruntukan besar untuk pembangunan modal insan dan penguasaan teknologi.

Sejak September 2020, Sabah mendapat pelbagai tambahan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan untuk menyokong pembangunan negeri, meningkatkan infrastruktur dan menangani isu-isu kritikal.

Malah, lebih awal daripada itu lagi, seperti dalam Belanjawan 2021, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM5.1 bilion untuk pembangunan Sabah dengan fokus utama meningkatkan infrastruktur asas, termasuk jalan raya, bekalan elektrik dan bekalan air, selain mempercepatkan pelaksanaan Projek Pan Borneo Sabah.

Dalam Bajet 2022, RM5.2 bilion diberikan kepada negeri ini, tumpuan utama ialah Projek Pan Borneo Sabah dengan fokus kepada pembinaan jalan raya utama dan naik taraf jalan sedia ada, selain peningkatan kemudahan bekalan air dan elektrik di kawasan pedalaman.

Belanjawan selepas itu pula, RM6.5 bilion diperuntukkan kerajaan Persekutuan kepada Sabah dengan RM2.5 bilion untuk pelaksanaan projek kemudahan awam seperti pembinaan jalan raya, pemasangan lampu jalan di kawasan luar bandar serta bekalan elektrik dan air.

Selain itu, RM1 bilion untuk pembinaan kemudahan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Kalabakan, bandar bersempadan dengan Kalimantan.

Dalam Belanjawan 2024, RM7 bilion diberikan kepada Sabah dengan komponen utamanya, RM2.6 bilion untuk infrastruktur asas seperti jalan raya dan jambatan.

Sebanyak RM2.37 bilion ialah hasil daripada royalti petroleum melalui Perjanjian Minyak dan Gas yang baru dimeterai, selain RM480.46 juta melalui pinjaman dan bayaran balik projek oleh kerajaan Persekutuan.

Menerusi Belanjawan 2025, RM6.45 bilion diperuntukkan untuk Sabah, termasuk RM1.15 bilion sebagai terimaan dan sumbangan langsung daripada Kerajaan Persekutuan, antaranya pemberian khas, pemberian mengikut kepala dan pemberian untuk kos pelaksanaan projek pembangunan.

Dalam aspek Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Sabah di bawah pentadbiran Hajiji mengukuhkan kedudukannya selepas berjaya mendapat autonomi dalam beberapa aspek, termasuk pelaksanaan projek pembangunan bawah RM50 juta, selain perjuangan ke atas hak dalam sektor minyak dan gas melalui persefahaman dengan kerajaan Persekutuan.

Kerjasama Sabah-PETRONAS memberikan kuasa lebih besar kepada negeri dalam pengurusan sumber minyak dan gas. Projek khusus mendapat peruntukan tambahan ialah CCA yang menambah hasil Sabah melalui royalti petroleum dan gas.

Tidak dapat dinafikan, gabungan kestabilan politik, pelan pembangunan strategik dan keupayaan diplomasi Ketua Menteri antara faktor berjaya membawa Sabah ke tahap lebih baik.

Belanjawan yang konsisten inklusif dan berfokus kepada rakyat serta hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan turut menyokong pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat negeri berkenaan.

Penulis adalah Pengarah Program Peningkatan Eksekutif Ghazali Shafie (GSEEP) di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM)

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *