KEK Hati Parek, Bintang Malam, Lumut, Belacan dan juga ‘Fattzura’ antara nama kek lapis Sarawak yang menjadi pilihan ramai penggemar. Namun terdapat seribu satu nama lain yang tampil dengan pelbagai rekaan, warna dan variasi rasa boleh anda pilih sekiranya mengunjungi Sarawak.
-Advertisement-
Justeru popularitinya yang seakan sudah menjadi sebahagian identiti Sarawak, kek lapis ini dilindungi akta hak cipta merangkumi nama dan tempat pengeluarannya. Pendaftarannya sudah diluluskan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia sejak 20 November 2010.
Hal ini menjelaskan, kek lapis hanya boleh digelar atau dijenamakan sebagai ‘kek lapis Sarawak” jika ia dibuat di negeri berkenaan berdasarkan spesifikasi Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak.
Bagi pembuat kek di luar Sarawak yang menghasilkan menu serupa, mereka hanya boleh menamakan dan melabel produk berkenaan dengan nama kek lapis sahaja.
Kek lapis Sarawak sebenarnya sangat unik, selain menjadi identiti negeri ia juga adalah hidangan mesti ada setiap kali menyambut perayaan. Ia bukan hanya dihidang pada Aidilfitri tetapi juga semasa sambutan perayaan lain di negeri itu termasuk Gawai dan Tahun Baharu Cina.

Di sesetengah kawasan di Sarawak, antaranya Kampung Sebandi Hulu di Asajaya, Kota Samarahan, kek lapis Sarawak ini menjadi hidangan ‘palak kuih’ ketika sambutan Maulidur Rasul. Hidangan palak kuih (kepala kuih), bermaksud kek diletakkan di tengah dan dikelilingi kuih-muih lain antaranya peneram atau sepit.
Selain itu kek lapis juga menjadi hidangan ‘palak meja’ yang pernah menjadi sebahagian budaya sambutan Aidilfitri di negeri itu. Malah di Sarawak, keenakan kek lapis menjadikan ia hidangan ‘sama darjat’ dengan juadah tradisional musim perayaan seperti rendang, ketupat atau lemang.
Kek lapis di Sarawak terhasil dengan pengaruh ‘layered European cake’ iaitu kepingan kek bertindan yang disatukan dengan lapisan-lapisan seperti mentega, jem atau pengawet lain.
Bagaimanapun ia melalui evolusi sendiri apabila adunannya ditambah dengan pelbagai bahan lain sekali gus menghasilkan rasa, corak dan warna yang pelbagai. Justeru pelbagai rasa, ia juga mempunyai banyak versi dengan variasi nama.
Kek lapis Sarawak mula dikenali sejak 1980-an dengan ketika itu antara yang popular dan terus menerus digemari hingga kini termasuklah Lapisan Bumi, Dandy, Sabok Tun Razak, Batu Marmar, Lancang Kuning dan Holiday Inn.
Apa pun namanya, ia kekal menjadi identiti Sarawak sehinggakan sesiapa saja yang mengunjungi negeri itu tentu saja berasa tidak lengkap jika tidak membawa balik kek lapis sebagai cenderahati. Malah hari ini, kek lapis Sarawak terus berevolusi dengan kewujudan pelbagai versi lebih moden yang dinamakan kek lapis premium.
Kek lapis premium makin ‘mendunia’
Selari dengan perubahan masa serta perkembangan kek lapis yang semakin ‘mendunia’, evolusi turut berlaku dalam penghasilan kek yang diadun dengan puluhan bahan itu.
Apatah lagi dengan kemunculan ramai pengusaha muda dengan idea baharu, menciptakan kelainan adalah kemestian bagi mereka yang mencari rezeki dengan menjual kek lapis Sarawak.
Hasil kreativiti itu membawa kepada pengenalan kepada pelbagai jenis corak, rasa dan warna kek lapis hingga munculnya istilah kek lapis premium. Istilah premium digunakan bagi menjelaskan bahan-bahan adunan yang dipilih umumnya berkualiti tinggi dan harganya mahal.

Hasnisah Simili Ibrahim, 46, yang mengusahakan kek lapis premium dengan jenama ‘Kek Lapis Kitak’, berkata sejak 10 tahun lalu, beliau tampil dengan pelbagai jenis, warna dan rasa kek lapis. Malah, dalam tempoh sedekad beliau sudah menghasilkan tidak kurang 45 jenis kek untuk pasaran.
Katanya, walaupun kek lapis Sarawak sudah menjadi identiti Bumi Kenyalang, namun ia tidak menghalang setiap pengusaha untuk mencari kelainan berdasarkan kreativiti masing-masing.
“Kelainan ini penting supaya ia mampu memenuhi cita rasa generasi kini, namun tidak bermakna kelahiran kek lapis premium mengikis identiti kek lapis Sarawak.
“Perkataan premium dipilih untuk memberi tahu mengenai pilihan yang ada di pasaran, apatah lagi bahan yang digunakan berkualiti tinggi.
“Misalnya, mentega yang digunakan juga bukanlah majerin biasa, sebaliknya kami memilih yang sedikit mahal untuk menghasilkan kek dengan kualiti terbaik,” katanya.
Justeru itu kata Hasnisah ia secara tidak langsung menyebabkan harga kek premium itu agak mahal, biasanya boleh mencecah antara RM250 hingga RM300 seloyang.
Kata Hasninah, proses menyediakan kek itu juga tidak mudah kerana secara umum masa yang diambil untuk membakar adunan boleh mencapai sehingga enam jam.
Justeru, beliau hanya boleh menghasilkan sekitar 15 biji kek sehari. Kadar itu tentu saja boleh ditambah bergantung kepada berapa jumlah ketuhar yang dimiliki.
Menyingkap pembabitan awalnya dalam pembuatan dan jualan kek lapis, ibu kepada tiga anak itu berkata, pada mulanya beliau hanya menghasilkan biskut untuk menambah pendapatan terutama ketika menjelang musim perayaan.
“Ketika masih bekerja sebagai kerani syarikat swasta di Satok, Kuching saya membuat biskut untuk dijual.
“Pada masa sama, saya turut menjual kek lapis yang diambil daripada rakan-rakan. Dari situ saya dapati permintaan terhadap kek lapis amat baik,” katanya.

Melihat kepada sambutan terhadap kek lapis yang menggalakkan, ibunya mencadangkan Hasnisah belajar membuat kek itu.
“Ibu memberi dorongan kuat kepada saya dan memberi buku resipi kek lapis lama sebagai panduan dan dia juga membimbing saya.
“Ketika itu, rupa dan rasa kek lapis yang saya buat tidak cukup sempurna. Jadi saya banyak belajar selain membuat rujukan di media sosial,
“Saya juga mendapat bimbingan daripada kawan-kawan yang lebih dahulu mengusahakan kek lapis,” katanya.
Menurutnya lagi, dia turut membeli resipi daripada pengusaha lain untuk menambah kemahiran kerana tidak mampu menyertai kelas membuat kek.
“Selepas belajar melalui resipi kawan-kawan dan berjaya menghasilkan kek lapis yang sempurna, mereka mendorong saya untuk membuat resipi sendiri pula.
“Berkat semangat selepas didorong rakan-rakan, saya berjaya menghasilkan ‘Fattzura’ iaitu kek lapis premium pertama yang saya hasilkan dengan resipi sendiri,” katanya.
Menurut Hasnisah, beliau cuba menjual Fattzura dan ternyata mendapat sambutan di luar jangkaan. Malah beliau yang turut mengendalikan kelas membuat kek lapis mendapat permintaan ramai pelajarnya untuk mendalami cara pembuatan kek lapis premium Fattzura itu.
Bermula dengan kejayaan kek lapis premium Fattzura itulah, Hasnisah menghasilkan 45 lagi resipi baharu, antara yang paling banyak mendapat sambutan ialah Lapis Cadbury, Black Cadbury, Triple Flurry dan Rosie Queen.
Kongsi Hasnisah lagi, selain menghasilkan kek lapis premium di premis Kek Lapis Kitak di Uni Garden, Kota Samarahan, beliau turut aktif mengadakan kelas mengajar cara membuat kek lapis.
Selain kelas secara bersemuka, beliau turut mengadakan kelas secara dalam talian khususnya menerusi aplikasi TikTok dan ia mendapat sambutan yang cukup baik sehingga disertai penggemar lapis sejauh dari Amerika Syarikat (AS), Dubai, Australia juga Semenanjung Malaysia dan Sabah.
“Rakyat kita yang bermastautin di luar negara belajar dan membeli resipi saya. Selepas itu mereka menghasilkan kek lapis premium yang kemudian dijual pada acara-acara di negara seperti AS dan Arab Saudi terutamanya Dubai.
“Ini menjadikan kek lapis premium Sarawak semakin dikenali di negara terbabit,” katanya sambil memaklumkan, beliau juga ada menyediakan ‘kek lapis eko’ yang harganya lebih murah dan mampu dibeli semua penggemar.
Dalam mengecapi kejayaan, Hasnisah turut tidak terlepas daripada dugaan apabila perusahaannya diuji ketika pandemik COVID-19 melanda dunia.
“Ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, saya terkandas di Kuala Lumpur kerana mencari bahan-bahan untuk membuat kek dan saya meminta pekerja menutup premis serta menyimpan semua kek yang sudah siap di dalam peti sejuk.
“Sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP, saya memanfaatkan sepenuhnya penjualan dalam talian dan alhamdulillah, ramai yang sudah mengenali produk saya dan memberi sokongan dalam tempoh sukar itu,” katanya.
Kini dengan bantuan lima pekerja yang juga bekas anak murid beliau, Hasnisah tidak menoleh ke belakang lagi, sebaliknya fokus untuk membawa kek lapis buatannya ke pasaran lebih luas.
Kredit : Berita Harian