Amira nafi keluarga Fattah datang merisik

KUALA LUMPUR: Penyanyi Amira Othman, 32, menafikan khabar angin kini bergelar tunangan aktor Fattah Amin sejak Jumaat lalu.

Penyanyi Hati-Hati itu berkata, dia tidak pasti bagaimana berita pertunangan boleh timbul termasuk dakwaan keluarga Fattah datang merisiknya di Johor Bahru.

“Saya tak tahu bagaimana boleh timbulnya gosip ini. Ada juga yang nampak saya pakai baju putih pada Jumaat lalu.

“Sedangkan, saya selalu sahaja pakai baju warna putih. Jadi, saya ingin tegaskan tiada sebarang majlis pertunangan antara saya dengan Fattah.

“Saya terkejut, tapi ada peminat teruja dengan spekulasi ini,” katanya ketika ditemui pada majlis Kempen Ramadan Raya Indahkan Memori Media Prima, di sini, hari ini.

Sementara itu, ditanya adakah dia mula rimas apabila kerap dikaitkan dengan Fattah, Amira menerimanya dengan lapang dada.

“Saya mulakan dengan gimik pelancaran single Bila Nak Kahwin. Jadi, saya sudah tahu apakah implikasinya.

“Saya tenang-tenang sahaja hadapinya sebab gosip ini tak betul,” katanya.

Ditanya adakah perkara itu juga menyebabkan kekok berjumpa Fattah, Amira berkata, ia lumrah menjadi anak seni.

Mengulas respon keluarga selepas tular gosip pertunangan itu, Amira berkata, ibu bapanya memahami statusnya sebagai selebriti.

“Mereka tenang sahaja, mungkin faham isu ini sedang hangat. Mereka juga tahu peminat yang terlampau teruja,” ujarnya.

Berkenaan hadir bersama ibu Fattah menghadiri kelas usrah, Amira berkata, ia hanyalah kebetulan.

“Selalunya saya hadir ke kelas usrah bersama Wani Hasrita, tapi secara kebetulan, ibu Fattah pun hadir, jadi timbullah usik mengusik,” katanya.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *