Semakin hari jumlah kenderaan di jalan raya semakin meningkat dengan ketara sehingga menyaksikan kesesakan hampir semua jalan raya di bandar utama, jalan persekutuan, negeri dan lebuh raya.
Pada masa sama, kesedaran memandu secara berhemah, terutama mengikut had laju ditetapkan juga didapati meningkat, apatah lagi dengan adanya kamera had laju di tepi jalan dan lebuh raya.
Namun, ada juga pemandu kenderaan terutama di lebuh raya yang memandu terlalu perlahan, bawah 90 kilometer sejam (km/j) di jajaran laluan kelajuan maksimum 110 km/j.
Pemanduan di lebuh raya dengan kelajuan bawah 90 km/j kononnya hendak memandu dengan santai dan tidak mengejar masa, boleh menimbulkan beberapa bahaya, terutama kepada pemandu lain.
Lebuh raya direka untuk kelajuan lebih tinggi, biasanya antara 90 hingga 110 km/j dan apabila seseorang pemandu memandu terlalu perlahan, ia boleh mengganggu aliran trafik yang sepatutnya bergerak lebih pantas.
Pemandu yang memandu dengan kelajuan rendah boleh menghalang pemandu lain yang ingin bergerak lebih cepat. Keadaan ini menyebabkan pemandu lain terpaksa menukar lorong atau memperlahankan kenderaan secara mendadak, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.
Kesesakan juga boleh berlaku apabila ada pemandu perlahan dan tidak berada di lorong yang sesuai. Tanggapan memandu perlahan demi keselamatan ada kalanya tidak membantu mewujudkan situasi selamat di atas jalan.
Pemandu lain yang terpaksa mengubah haluan atau membrek secara mendadak untuk mengelak pemandu perlahan, boleh menjadikan keadaan tidak selamat dan berisiko berlakunya kemalangan. Dalam situasi kecemasan, pemandu lain mungkin gagal mengawal kenderaan dengan baik.
Patuhi had laju ditetapkan
Pemandu yang memandu perlahan mungkin kurang peka terhadap keadaan lalu lintas di sekitar mereka. Mereka mungkin tidak sedar pemandu lain memerlukan ruang untuk memotong atau membuat perubahan kelajuan selamat. Ini meningkatkan risiko kecelakaan di jalan raya.
Sebagai pemandu berhemah, penting untuk kita mematuhi had laju ditetapkan di lebuh raya. Namun, pemanduan terlalu perlahan bukan sahaja berbahaya untuk diri sendiri, tetapi juga pemandu lain.
Justeru, mematuhi kelajuan yang sesuai menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya. Pemanduan dengan kelajuan bawah 90 km/j di lebuh raya boleh menyebabkan gangguan, meningkatkan risiko kemalangan dan memberi impak negatif kepada keselamatan trafik.
Kredit : Berita Harian