KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menyifatkan Faisal Halim sebagai pemain yang hebat selepas dia meledak hatrik ketika membantu skuad itu membelasah Kelantan Darul Naim (KDN) FC 7-0 dalam aksi Liga Super, malam tadi.
Perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu menjadi detik paling manis buat Faisal Halim musim ini apabila dia akhirnya membuka akaun jaringan selepas 10 bulan Liga Malaysia (Liga M) 2024-25 berlangsung.
Kinoshi berkata, sikap dan mentaliti positif yang sentiasa diberikan Faisal memberi pulangan berbaloi selepas terpaksa bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaik susulan menjadi mangsa simbah asid, Mei tahun lalu.
“Saya berpuas hati dengan prestasi Faisal kerana tiga gol yang dijaringkannya menakjubkan. Namun, dia perlukan masa untuk lebih baik. Jadi saya harap dia akan menjadi lebih baik untuk tahun depan, lebih baik dari tahun ini.
“Bukan sahaja dia, semua orang perlu bersiap untuk tahun depan. Dia sentiasa memberikan 100 peratus pada sesi latihan dan walaupun kurang mendapat minit permainan, tapi perwatakan dia hebat.
“Dia sentiasa faham masanya akan tiba dan saya tahu dia mahu beraksi dengan lebih kerap. Kali ini, saya gembira dia dapat menunjukkan keupayaan sebenar di hadapan penyokong,” kata pengendali dari Jepun itu selepas perlawanan.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor mempertahankan gelaran naib juara Liga Super selepas mengumpul 46 mata, 10 mata mendahului pasukan tangga ketiga, Sabah dengan saingan hanya berbaki tiga perlawanan.
Malah, kejayaan berada di tangga kedua membolehkan Gergasi Merah sekali lagi menempah slot untuk beraksi di pentas kejohanan peringkat Asia tahun depan.
Kinoshi mengakui gembira dengan komitmen yang diberikan semua pemainnya untuk menjayakan misi meraih gelaran naib juara liga dan layak ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
“Jika anda hanya beraksi dalam Liga M, mungkin ia menjadi zon yang selesa buat pasukan. Tapi jika anda mahu menjadi lebih baik, kita perlu keluar dari zon selesa, jadi ACL bukan tempat yang selesa sebab pasukan lawan lebih kuat.
“Kami perlu keluar dari zon selesa kerana mahu menjadi pasukan yang baik dan pemain juga akan menajdi lebih bagus. Kami perlu berusaha lebih baik lagi dari tahun ini,” katanya.
Kredit : Berita Harian