PUTRAJAYA: Dihujani pujian selepas mengacarakan Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39 tidak pernah membuatkan Sissy Imann lupa diri atau bersikap ‘demanding’ dalam soal tawaran ‘job’ dan bayaran.
Sissy atau nama sebenar, Sissy Imann Mohammad Kamil, 30, berkata daripada segi bayaran atau caj dikenakan bagi setiap ‘job’ yang ditawarkan kepadanya, kadarnya masih sama.
Malah, Sissy sedia digandingkan dengan sesiapa sahaja termasuk pengacara baharu dalam mana-mana projek.
“Hendak kata naik harga, Sissy tidak fikir begitulah sebab ayahanda dan bonda yang urus Sissy. Jadi, jumlah bayaran masih sama.
“Sissy pun tidak pilih rakan gandingan sebab untuk program KLTV yang Sissy buat untuk Unifi TV, Sissy diganding dengan pengacara baharu, iaitu Faaziq serta pelakon, Haidar.
“Sissy tidak pernah digandingkan dengan mereka. Kadang-kadang, apabila dapat gandingan begini, ia mengingatkan kembali di mana Sissy bermula,” katanya ditemui pada majlis pelancaran single Zapin Malam Raya – Ara Johari menampilkan Trio Latah di sebuah premis acara di sini, malam tadi.
Namun, Sissy mengakui ada sesuatu yang berubah selepas dia mengacarakan acara anugerah berprestij.
“Tawaran yang Sissy terima selain jadi hos program televisyen (TV) adalah mengacarakan majlis. Maksudnya, pengacara untuk acara korporat, pelancaran produk dan apa sahaja yang berkaitan dengannya.
“AJL membuka peluang untuk saya menjadi pengacara pelbagai program. Jujurnya, saya masih belum berani untuk terima tawaran pengacara majlis sebab belum ada keyakinan diri terutama dari segi berinteraksi dengan tetamu,” katanya.
Sissy berkata, menjadi pengacara program TV dan majlis berbeza.
“Di stesen TV, kita ada ‘floor manager’ yang boleh bantu memeriahkan suasana. Kalau mengacarakan majlis, semuanya terletak di bahu kita
“Tunggulah… Apabila sudah ada keyakinan diri, barulah saya berani jadi pengacara majlis,” katanya yang baru muncul dengan single berjudul Passenger Princess ini.
Pada AJL 39, gandingan Sissy dan Nazrudin Rahman atau Naz, mendapat reaksi positif penonton. Rata-rata peminat menganggap mereka tidak melalut, sebaliknya banyak berkongsi maklumat berguna sepanjang mengendalikan acara berprestij itu.
Kredit : Berita Harian