KUALA LUMPUR: Lagu Ketipak Ketipung Raya duet Aisha Retno dan Aziz Harun mencetuskan fenomena pada Aidilfitri tahun lalu dengan meraih tontonan lebih 10 juta.
Sana-sini lagu itu berkumandang sepanjang musim perayaan sehingga tular ke Indonesia. Malah, beberapa selebriti popular seperti Luna Maya dan Dian Sastrowardoyo turut menggunakan latar lagu berkenaan untuk video dalam platform TikTok.
Sambutan hebat terus memangkin semangat Aisha untuk berkarya dan kini merealisasikan impian menghasilkan lagu buat idolanya, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Biduanita Negara itu sendiri menghargai peluang dan ruang dapat bekerjasama dengan pencipta muda seperti Aisha serta adiknya, RADi atau Sayed Abu Hanifa Radityo menerusi single Raya Nak Ke Mana?
Siti berkata, single berentak zapin ciptaan Aisha dan RADi dengan lirik dihasilkan Aisha bersama Amylea Azizan itu mempunyai kelebihan tersendiri sehingga membuatkannya tertarik selepas kali pertama mendengar.
Katanya, Raya Nak Ke Mana? adalah bukti di mana pencipta muda mampu menghasilkan lagu tradisional raya yang enak didengar, mudah diikuti dan memberikan aura kemeriahan pada hari lebaran yang dirindui.
Tambah Siti, lagu raya cukup sinonim dalam kerjayanya dan tahun ini, dia bertuah dapat menyanyikan satu lagi karya yang mempunyai keistimewaan dan berpotensi malar segar.
Akuinya, sekali dengar, lagu Raya Nak Ke Mana? terus memikat hati, apatah lagi unsur irama Melayu sentiasa melekat di hati.
“Saya tertarik dengan lagu ini kerana ia mengekalkan ciri irama tradisional seperti zapin, sekali gus mengingatkan saya kepada karya ciptaan Allahyarham Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah.
“Lagu irama Melayu tidak asing untuk saya sebab orang Melayu suka berhibur dengan lagu irama tradisional. Bila Aisha beri lagu berentak zapin dengan sentuhan moden, saya rasa ia sangat bersesuaian.
“Saya memang mahu mengekalkan irama zapin seperti lagu Nazam Lebaran dan Sesuci Lebaran,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran single Raya Nak Ke Mana? dan single anak saudaranya, Umairah berjudul Tak Balik Raya di ibu negara, baru-baru ini.
Siti berkata, kali pertama mendengar karya itu, dia terus bertanya kepada pengurusnya sama lirik lagu itu mahu diubah.
“Saya tanya Kak Rozie sama ada nak ubah atau tidak liriknya. Kalau orang lama seperti Pak Ngah, liriknya lebih melankolik dan ada kiasan, tapi lirik lagu ini lebih berterus-terang. Itulah sentuhan pencipta muda dan saya sukakannya,” katanya.
Berkongsi pengalaman bekerja dengan Aisha, Siti berkata, rakaman tidak mengambil masa lama kerana lagu Raya Nak Ke Mana? senang untuk dijiwai.
“Tiada masalah, tidak susah pun. Aisha seronok dan memberi kebebasan bagaimana saya nak menjayakan lagu ini. Alhamdulillah, Aisha memang komposer hebat,” katanya.
Lagu berkenaan terbitan SN Legacy Sdn Bhd dan Universal Music Malaysia, dilancarkan di seluruh platform digital sejak 12 Mac lalu.

Melihat ramai tampil dengan single raya, ia tidak membuatkan Siti gusar kerana senario itu dapat merancakkan industri muzik tanah air.
“Saya rasa ia bagus sebab semua orang dapat berkarya. Kalau dahulu, lagu raya tak semeriah hari ini, sekarang ramai penyanyi keluarkan lagu raya dan berkarya dengan baik,” katanya.
Ia, tambah Siti, secara tak langsung dapat memeriahkan sambutan Syawal dengan lagu raya baharu dan pendengar juga ada banyak pilihan.
“Saya bukan mahu bersaing dengan penyanyi muda, mereka ada kelebihan tersendiri. Saya hanya mahu mengekalkan konsep lagu raya yang pernah dibawakan sebelum ini.
“Saya juga mengeluarkan lagu raya untuk Umairah yang juga lagu pertama dirakamkan di bawah SN Legacy,” katanya.
Sementara itu, artis pertama naungan SN Legacy, Ummi Umairah, 14, juga tidak ketinggalan merancakkan suasana sambutan lebaran menerusi single Tak Balik Raya.
Lagu itu menampilkan lirik mengenai dilema seseorang yang terpaksa menyambut hari raya berjauhan dengan keluarga kerana terpaksa bekerja.
Bagi anak saudara Siti itu, Tak Balik Raya bukan sahaja menyampaikan emosi rindu dan sayu, tetapi juga menyuntik elemen kegembiraan dengan melodinya.
Katanya, lagu itu menceritakan realiti sebenar dialami anak rantau menjelang Aidilfitri.
“Walaupun lirik menyentuh hati, ada nada memujuk. Dengan kemajuan teknologi terkini, anak perantau masih boleh menghubungi keluarga dengan pelbagai cara seperti panggilan telefon, video dan sebagainya.
“Ini single raya pertama yang direkod di bawah SN Legacy. Saya terharu apabila single ini dapat sokongan positif. Jujurnya, saya tidak menunggu lama untuk bersetuju merakamkan lagu.
“Ketika dengar lagu ini, Mak Iti (Siti Nurhaliza) juga mendengar. Muzik dan emosi lagu ini sesuai dengan usia remaja seperti saya. Lagu ini mudah melekat dalam ingatan dan sejak saya mengeluarkan `teaser’ atau petikan awal, saya terima komen positif,” katanya.
Dia yang pernah meraih gelaran juara kategori vokal (junior) di World Championships Of Performing Arts 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat, akui terharu atas sokongan diberikan sebagai artis baharu dalam industri muzik.
Melihat sambutan positif, Umairah mahu menghasilkan lebih banyak karya sebagai tanda dirinya serius mahu membina nama dan menggilap bakat sebagai penyanyi.
Tidak hanya itu, dia juga terharu atas sokongan setiap ahli keluarga.
“Jujurnya, saya sebak melihat wan (nenek) datang, keluarga dan rakan penari datang menyokong majlis pelancaran lagu ini. Alhamdulillah,” katanya.
Lagu dan lirik Tak Balik Raya ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito.
Kredit : Berita Harian