KUALA LUMPUR: Satu lagi detik mengecewakan buat beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani apabila tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Switzerland yang berlangsung di St Jakobshalle, Basel, awal pagi tadi.
Beregu utama negara itu terpaksa meninggalkan kejohanan berstatus Super 300 BWF berkenaan lebih awal apabila tewas 23-25, 21-15, 11-21 kepada beregu Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita yang menghuni ranking 78 dunia.
Sebelum ini, harapan tinggi yang diletakkan kepada Sze Fei-Izzuddin untuk menjulang gelaran di Seluruh England juga tidak kesampaian apabila mereka tumbang di pusingan kedua kepada pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Kim Won Ho.
Selain Sze Fei-Izzuddin, turut mengalami nasib sama adalah dua beregu lelaki profesional negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.
Azriyn-Wee Kiong yang menghuni ranking 25 dunia tewas kepada pasangan Denmark, Andreas Sondergaard-Jesper Toft 21-23, 18-21 dalam tempoh 41 minit.
Sementara itu Yew Sin-Ee Yi tewas kepada pasangan pasangan Taiwan yang juga pilihan ketiga kejohanan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan 18-21, 26-28 dalam perlawanan yang berlangsung 40 minit.
Dalam pada itu, pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh meraih tempat ke pusingan pertama selepas melepasi dua perlawanan pusingan kelayakan di Basel.
Selepas mengalahkan pemain Perancis, Valentin Singer 21-17, 21-19 pada perlawanan kelayakan pertama, pemain ranking 50 dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum menyingkirkan pemain India, K Sathish Kumar 21-19, 19-21, 21-16 dalam tempoh 69 minit pada perlawanan kelayakan kedua.
Justin berdepan laluan sukar di pusingan pertama apabila dijadual bertemu pemain Jepun, Yushi Tanaka yang menghuni ranking ke-25 dunia.
Sementara itu, harapan pemain perseorangan lelaki negara, Tan Jia Jie untuk berada dalam undian utama tidak kesampaian apabila tewas kepada pemain Denmark, Magnus Johannesen 17-21, 13-21 pada perlawanan kelayakan kedua.
Dalam acara perseorangan wanita, pemain negara S Kisona tidak berjaya mendapatkan tempat dalam undian utama selepas tewas kepada pemain China, Han Qianxi 15-21, 11-21 pada aksi kelayakan.
Kredit : Berita Harian