KUALA LUMPUR: Pelakon Diana Danielle mengakui penat dengan urusan mahkamah membabitkan permohonan perceraiannya dengan suami, Farid Kamil.
Lantaran itu, Diana atau nama sebenar, Diana Danielle Danny Beeson, 34, mengharapkan prosiding perceraian dan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP), hari ini menghadirkan keputusan positif buatnya.
“Saya harap selesai, banyak kali sudah turun naik mahkamah selesaikan benda sama, tetapi Farid tetap tak nak lepaskan.
“Jadi, saya harap dia (Farid) fahamlah,” kata Diana ketika tiba di perkarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, pada jam 9.25 pagi ini.
Diana ditemani peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader.
Sementara itu, Farid yang tiba kira-kira 10 minit selepas Diana dengan ditemani peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung prosiding hari ini.
Pada 16 Disember tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan memerintahkan pasangan Farid dan Diana melantik wakil JKP.
Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin memerintahkan demikian susulan keengganan Farid melafazkan cerai terhadap Diana pada prosiding kes permohonan perceraian mereka.
Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 12, dan Nur Aurora, 10.
Kredit : Berita Harian