Mohon cerai elak mental, fizikal dan emosi terjejas – peguam Nora Ariffin

SHAH ALAM: Mahkamah Rendah Syariah Petaling menetapkan 6 Mei ini sebagai tarikh sebutan pertama untuk prosiding permohonan cerai antara penyanyi, Datuk Nora Ariffin dan suami Dr Rushdi Ramli.

Peguam syariah yang mewakili Nora, Sarah Mohd Ali, berkata semua isu yang menyebabkan permohonan perceraian antara mereka akan dibentangkan di mahkamah.

“Anak guam saya memfailkan notis cerai di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Tarikh sebutan pertama yang diberi mahkamah adalah pada 6 Mei ini.

“Segala isu dalam perceraian ini akan dibentangkan di mahkamah. Saya percaya media juga tahu apa yang berlaku sejak kebelakangan ini. Kami akan serahkan salinan saman cerai ini kepada pihak defendan iaitu, Dr Rusdi Ramli. Saya percaya Dr Rushdi juga sudah ada peguam yang mewakili beliau.

“Dr Rushdi juga ambil maklum mengenai proses hari ini,” katanya ketika ditemui di Mahkmah Rendah Syariah Petaling di sini, hari ini.

Sarah memaklumkan perkahwinan antara Nora dan Dr Rushdi tidak boleh diteruskan lagi kerana gangguan dan desakan pihak dikenali sebagai orang ketiga.

“Apa yang ingin saya tekankan, perceraian ini tidak boleh dielakkan lagi disebabkan ada unsur pihak ketiga. Siapa pihak ketiga itu, anda boleh tahu sendiri.

“Saya percaya banyak yang sudah didedahkan melalui kenyataan media. Saya percaya perkahwinan mereka bahagia tapi disebabkan ada gangguan daripada pihak ketiga yang tak boleh kami dedahkan.

“Disebabkan gangguan itu, anak guam saya terpaksa cari jalan seperti pagi ini. Jika tidak, mental, fizikal dan emosinya akan terjejas,” katanya.

Ditanya mengenai gangguan yang terpaksa dihadapi Nora, Sarah berkata, perkara itu tidak dapat didedahkan secara terbuka kerana bimbang memberi kesan terhadap anak guamnya.

“Kita tak boleh dedahkan terlalu terperinci kerana ini membabitkan hal undang-undang. Kalau tersalah kata, anak guam pula kena saman,” katanya.

Sebelum ini, Nora yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema mengejutkan peminat apabila memuat naik foto menampakkan dirinya hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, dipercayai mahu memfailkan permohonan perceraian terhadap Dr Rushdi selepas didakwa didesak pihak ketiga.

Rentetan itu, Dr Rushdi pula dilapor bersuara memihak Nora dan mengakui menerima tekanan daripada pihak lain agar berpisah dengan isterinya itu.

Baru-baru ini, Nora sekali lagi dilapor meluahkan hasrat untuk memfailkan permohonan perceraian selepas gagal menemui titik penyelesaian. Pada akhir 2021, Nora dilapor mengesahkan bergelar isteri kepada Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul di sebuah universiti di ibu negara.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *