Awas amukan Harimau Selatan!

KUALA LUMPUR: Kekuatan di bahagian serangan JDT sudah pasti menjadi aspek utama yang perlu menjadi kerisauan Sri Pahang FC (SPFC) menjelang aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Di sebalik keperluan untuk mempersiap pasukan bagi mengharungi aksi getir ini, rekod jaringan yang dilakar skuad Harimau Selatan sepanjang musim ini seharusnya menjadi ‘amaran’ yang sama sekali tidak boleh diabaikan skuad bimbingan Fandi Ahmad itu.

Anak buah Hector Bidoglio itu jelas ‘rakus’ dalam merobek gawang lawan yang menyaksikan mereka sudahpun meledak 155 gol dalam empat pertandingan yang disertai mereka pada musim ini.

Dalam laluan bergelar juara final Piala FA 2024, mereka menjaringkan 28 gol – enam daripadanya dihasilkan dalam pentas final ketika membelasah Selangor FC (SFC) 6-1, Ogos lalu.

Mereka turut menutup kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dengan 16 gol dan itu dalam rekod jaringan ketiga terbanyak dalam peringkat kumpulan Zon Timur di mana mereka menamatkan saingan di tangga ketiga sekali gus mara ke pusingan kalah mati.

Kempen Liga Super yang berakhir minggu lalu turut menyaksikan mereka menjaringkan 90 gol dalam 24 perlawanan dan jumlah ini lebih separuh berbanding rekod jaringan pasukan naib juara Liga Super iaitu SFC (44 gol).

Malah, dalam kempen Piala Malaysia juga setakat ini, mereka sudah meledak 21 gol dan angka itu pasti akan menokok sekiranya mereka berjaya mempertahankan trofi yang dimenangi sejak 2022.

Tumpuan pasti terarah kepada tiga bintang utama mereka iaitu Heberty Fernandes, Bergson da Silva serta pemain sayap lincah mereka, Arif Aiman Hanapi.

Gandingan tiga pemain ini sahaja sudah menghasilkan 15 gol daripada 21 gol yang dijaringkan JDT dalam kempen Piala Malaysia setakat ini sekali gus membuktikan betapa kelibat tiga pemain ini wajar dirantai dan tidak dibiarkan ‘bermahajaralela’.

Dengan rekod jaringan yang menakjubkan seperti ini, gelombang serangan JDT dilihat mampu ‘melemaskan’ pertahanan skuad ‘Tok Gajah’ jika mereka gagal menunjukkan aksi luar biasa di pentas final nanti.

Sebagai rekod, jentera serangan SPFC berdepan masalah selepas penggempur utama mereka pada kempen Piala Malaysia iaitu Manuel Hidalgo (empat gol) dan Kpah Sherman (tiga gol) tidak dapat diturunkan.

Hanya dua pemain yang menyumbang kepada jaringan SPFC dalam kempen Piala Malaysia musim ini selain Hidalgo dan Sherman iaitu Sean Selvaraj dan Sergio Aguero, masing-masing dengan satu gol.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *