Tok Gajah mampu kejutkan Harimau Selatan

KUANTAN: Tiada yang mustahil untuk mengulangi pencapaian 2014 apabila Sri Pahang berdepan juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final piala berprestij itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.

Bekas pengurus Pahang 2014, Datuk Che Nasir Salleh berkata, segalanya dilihat skuad Tok Gajah berada pada prestasi terbaik untuk mengulangi pencapaian selepas 11 tahun.

“Bagi saya Sri Pahang perlu cuba mendapatkan gol awal untuk memastikan skuad ini dapat beraksi pada tahap terbaik seperti skuad Pahang lakukan pada 2014 walaupun beraksi dengan 10 pemain.

“Kali ini bukan faktor ketiadaan dua pemain utama yang tidak dapat disenaraikan pada aksi final itu tetapi komitmen dan semangat yang akan dipersembahkan untuk kembali bergelar juara.

“Pada musim 2014, Pahang bukan sahaja beraksi dengan 10 pemain tetapi sikap tidak berputus asa dan semangat juang tinggi membantu menewaskan Harimau Selatan ketika itu.

“Musim 2014 adalah kebangkitan terbaik terutama barisan pemain yang mampu menggalas tugas yang diamanahkan dengan baik sekali,” katanya.

Justeru, Che Nasir berkata, skuad kendalian Fandi Ahmad diharap mampu untuk membentuk persefahaman dan ketiadaan pemain utama bukannya alasan, sebaliknya dibuktikan dengan prestasi terbaik pada aksi final itu.

Berdasarkan rekod, kali terakhir Sri Pahang melangkah ke final piala berprestij itu pada 2014 dan bergelar juara pada musim itu dengan menewaskan JDT menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 selepas terikat 2-2.

Ketika itu, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, Mohd Saiful Nizam Miswan dilayangkan kad merah pada minit ke-69.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *