KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial dan artis kesan khas terkenal dari Malaysia, Sofyank, tidak dapat menyembunyikan keterujaannya selepas berpeluang bertemu secara bersemuka dengan bintang Hollywood terkenal, Tom Cruise pada acara tayangan perdana filem Mission: Impossible – The Final Reckoning di Tokyo, Jepun.
Menerusi hantaran dalam media sosial, Sofyank meluahkan rasa syukur dan terharu kerana diberi peluang berada di sisi aktor legenda yang menjadi idola dan sumber inspirasi sejak zaman kanak-kanaknya.
“Hai @tomcruise! Saya sudah menonton filem-filem anda sejak kecil dan karya anda memberi inspirasi kepada ramai pembikin filem di seluruh dunia.
“Kami rakyat Malaysia sangat mengagumi hasil kerja anda, aksi-aksi lagak ngeri anda serta usaha anda curahkan dalam setiap filem,” tulisnya.
Bagi Sofyank, peluang bertemu dengan pelakon yang terkenal dengan komitmennya terhadap aksi lagak ngeri itu adalah satu detik luar biasa yang tidak pernah terlintas akan berlaku dalam hidupnya.
“Berdiri di sebelah anda pada detik itu benar-benar satu impian seumur hidup yang menjadi kenyataan. Saya tidak pernah membayangkan akan mendapat peluang ini,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Sofyank turut mengucapkan penghargaan kepada Tom Cruise kerana bersikap ramah dan menghargai peminat di seluruh dunia.
“Terima kasih kerana menjadi seorang legenda dan kerana begitu baik terhadap peminat anda di seluruh dunia.
“Ia benar-benar satu penghormatan dapat bertemu dengan anda. Saya akan menyimpan kenangan ini sebagai memori emas dalam hidup saya. Terima kasih, Tom!” tulisnya.
Terdahulu, Sofyank memuat naik beberapa hantaran dalam media sosial memaklumkan mengenai rancangan untuk menjalani penggambaran kesan khas bersama bintang Hollywood itu.
Sofyank yang dikenali dengan kepakaran suntingan visual dan video ilusi realiti, sering menghasilkan kandungan kreatif berinspirasi Hollywood dan beberapa kali mendapat perhatian antarabangsa, termasuk daripada selebriti terkenal dan produksi luar negara.
Kredit : Berita Harian