KUALA LUMPUR: Isteri kepada pelawak Shuib, iaitu Watie Hanifiah berkongsi khabar duka mengenai keguguran dialami ketika hamil anak pertama.
Menerusi entri dimuat naik di Intagram (IG), Watie yang menggelarkan cahaya mata dalam kandungannya itu sebagai ‘bintang’ meluahkan rasa sedih.
Watie atau nama sebenar, Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 36, turut berkongsi, dia bagai mendapat petanda mengenai perkara itu melalui mimpi.
“Siang malam Mummy (panggilan Watie) berendam air mata fikirkan kamu. Maaf kerana tak menjaga kamu dengan baik saat kamu ada dalam rahim Mummy.
“Maaf kerana tak menghargai kehadiran kamu di saat Mummy terlupa begitu senang dan baiknya Allah berikan kamu.
“Walhal, Mummy dah dapat petanda dari mimpi yang Mummy akan keguguran. Setiap masa Mummy fikir adakah mimpi itu akan jadi kenyataan,” tulisnya.
Melalui entri sama, Watie berkongsi, dia mengetahui anak dalam kandungannya gugur, Ahad lalu.
“11-05-2025 (Ahad lalu) Mummy dapat berita kamu betul-betul pergi tinggalkan Mummy. Mungkin Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat Mummy.
“Mungkin Mummy masih belum mampu jadi Mummy yang baik dan adil buat kamu, kakak dan abang-abang kamu.
“Mungkin masih banyak yang perlu Mummy pelajari sebelum kamu lahir ke dunia ini dan mungkin Allah nak Mummy lebih menghargai anak-anak yang Mummy ada sebelum adanya kamu,” jelas Watie.
Watie memberitahu, dia reda dengan ujian yang diberikan.
“Mummy tetap bersyukur Allah titipkan kamu walau hanya untuk beberapa bulan yang indah. Terima Kasih untuk kata-kata semangat dari kalian sekalian,” tulisnya.
Sebelum ini, desas-desus Watie sedang hamil menjadi bualan ramai apabila pengikut di media sosial mula melihat ‘baby bump’ dalam gambar yang dikongsi.
Watie dan Shuib mendirikan rumah tangga pada 23 Jun 2023.
Kredit : Berita Harian