Keguguran awal kehamilan, jangan pandang remeh

KEGUGURAN pada awal kehamilan bukanlah sekadar isu kesihatan fizikal, tetapi turut meninggalkan kesan mendalam terhadap emosi dan kesejahteraan mental wanita yang mengalaminya.

Ia bukan sesuatu boleh dipandang ringan, apatah lagi jika kandungan itu adalah yang pertama dan amat dinanti-nantikan pasangan.

Dalam situasi begini, sokongan moral daripada keluarga dan orang terdekat amatlah penting.

Keguguran juga perlu dilihat sebagai isu menyeluruh dan bukan hanya dari sudut perubatan, tetapi juga sebagai cabaran emosi serta sosial.

Stigma yang masih menyelubungi wanita mengalami keguguran sering kali menjadikan proses penyembuhan lebih sukar.

Memahami punca dan kesannya adalah langkah awal dalam menghapuskan stigma serta memperkukuh sokongan kepada wanita terbabit.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi dari Universiti Taylor’s, Prof Madya Dr Anitha Ponnupillai, berkata di negara ini dianggarkan kira-kira 15.9 peratus wanita dalam lingkungan usia 15 hingga 49 tahun pernah mengalami keguguran sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.

Katanya, keguguran merujuk kepada kehilangan kandungan secara spontan sebelum janin mencapai usia kehamilan 20 hingga 28 minggu atau sebahagian besar kes berlaku dalam tiga bulan pertama kehamilan.

“Antara faktor menyumbang kepada keguguran termasuk ibu berusia, iaitu kelainan kromosom meningkat risikonya daripada 6.4 peratus bagi wanita di bawah 35 tahun kepada 23.1 peratus bagi wanita berusia lebih 40 tahun.

“Selain itu, penyakit kronik seperti diabetes, gangguan tiroid, sindrom ovari polisistik (PCOS), masalah pembekuan darah serta faktor gaya hidup seperti merokok, pengambilan alkohol dan obesiti.

“Satu daripada 100 wanita pernah mengalami keguguran berulang, sering kali tanpa diketahui puncanya, namun rawatan khusus mampu meningkatkan kadar kejayaan kehamilan seterusnya sebanyak 75 peratus,” katanya sambil menegaskan senaman atau hubungan seksual ketika kehamilan tidak menyebabkan keguguran.

Dr Anitha berkata, antara simptom keguguran itu ialah pendarahan faraj seperti tompokan darah berlanjutan sehingga satu ke dua minggu, kekejangan atau sakit di bahagian bawah perut.

“Sebaik melihat terdapat tompokan walaupun sedikit, wanita hamil dinasihatkan melakukan pemeriksaan fizikal dan imbasan ultrasound bagi mengesahkan keadaan janin.

“Terdapat empat jenis keguguran iaitu lengkap (Kandungan telah dikeluarkan sepenuhnya; rahim kosong), tidak lengkap (sebahagian tisu kehamilan masih berada dalam rahim), septik ( tisu yang tertinggal dalam rahim menyebabkan jangkitan, demam dan lelehan faraj berbau busuk) dan terlepas (janin berhenti berkembang tanpa gejala yang jelas).

“Sekiranya tisu keguguran dikeluarkan, ia perlu dikumpulkan dalam bekas bersih untuk tujuan diagnosis.

“Bagi wanita yang mengalami keguguran lengkap, mereka tidak memerlukan rawatan lanjut, namun bagi kes lain, rawatan lain yang diperlukan termasuklah menunggu pengeluaran tisu secara semula jadi, penggunaan ubat untuk membantu pengeluaran tisu dan pembuangan tisu tertinggal, terutama bagi keguguran septik disertai dengan antibiotik,” katanya.

Katanya lagi, wanita tidak sepatutnya dipersalahkan kerana berlaku keguguran kerana kebanyakannya terjadi di luar kawalan.

“Justeru kesan psikologi selepas keguguran tidak harus dipandang ringan kerana ramai wanita mengalami kesedihan berpanjangan, rasa bersalah, kemurungan malah tekanan trauma (PTSD) hingga ada yang berperasaan ingin membunuh diri.

“Sokongan emosi daripada pasangan, keluarga dan majikan adalah amat penting. Tempoh pemulihan sekurang-kurangnya dua minggu adalah penting untuk memantau pemulihan fizikal dan emosi.

“Ini kerana ovulasi biasanya kembali dalam dua minggu manakala haid dalam tempoh empat hingga enam minggu dan wanita digalakkan untuk menunggu sehingga haid kembali normal sebelum merancang kehamilan seterusnya,” katanya.

Beliau turut menekankan wanita wajar diberi ruang dan masa untuk sembuh serta peluang berbincang dengan pakar mengenai kehamilan seterusnya.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *