KUALA LUMPUR: Sebagai tanda syukur atas kelahiran cahaya mata sulung, penyanyi dan pelakon, Nabila Razali bersama suami, Nik Iruwan Nik Izani menjemput peminat menghadiri majlis aqiqah dan kesyukuran mereka.
Nabila berkata, majlis yang bakal diadakan di Franky Corner, Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu ini terbuka kepada peminat, jiran dan warga Kelantan khususnya.
Menurutnya, majlis itu bukan sekadar upacara tradisi, tetapi simbolik kepada rasa syukur atas kurniaan Ilahi serta peluang meraikan detik bahagia bersama peminat yang menjadi tulang belakangnya selama ini.
“Alhamdulillah, Baby M (gelaran anak) adalah hadiah terindah dalam hidup saya dan suami. Menjadi ibu adalah fasa sangat mencabar, tetapi sangat bermakna.
“Kami memilih 7 Jun ini sempena Aidiladha untuk mengadakan majlis aqiqah sebagai tanda syukur dan berkongsi kegembiraan ini dengan peminat, saudara-mara dan penduduk setempat di Kelantan,” kata Nabila.

Nabila berkata, pemilihan Kelantan sebagai lokasi penganjuran majlis kerana ia adalah kampung suami, selain berharap majlis akan berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan mesra.
“Saya dan suami amat berbesar hati sekiranya anda semua dapat hadir ke majlis ini. Bukan sahaja untuk meraikan Baby M, tetapi mengeratkan lagi ukhuwah sesama kita dalam bulan penuh rahmat ini.
“Terima kasih atas doa dan kasih sayang tidak pernah putus,” katanya.
Terdahulu, Nabila melahirkan anak lelaki sulung pada 23 Disember tahun lalu di sebuah pusat perubatan di Lembah Klang.
Bayi diberi jolokan Baby M itu dilahirkan dengan berat 3.1 kilogram (kg) dan dalam keadaan sihat sempurna.
Kehadiran zuriat pertama adalah detik paling membahagiakan dalam hidup pasangan yang melangsungkan perkahwinan pada 18 Disember 2023.
Kredit : Berita Harian