Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Barisan Nasional (BN) akan menjalin kerjasama hanya dengan parti berkongsi matlamat sama di Sabah dalam membangunkan negara dan menyatukan rakyat.
Kenyataan Pengerusi BN ini menegaskan bahawa politik Sabah kini memerlukan pendekatan pragmatik dan inklusif, dengan kerjasama berasaskan matlamat pembangunan bersama.
Ini sekali gus mencerminkan perubahan dalam strategi politik BN yang lebih mengutamakan perpaduan dan kesepakatan berbanding dominasi tunggal.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah masih menjadi teka-teki, landskap politik negeri itu diramal berubah dengan ketara melalui pembentukan pakatan strategik baharu.
Kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan dalam Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memberi petanda formula politik dapat diramal akan diteruskan di Sabah.
Ini bukan sesuatu yang mustahil, malah boleh menjadi langkah strategik bagi memastikan kestabilan politik negeri dan kesinambungan agenda pembangunan.
Potensi BN, PH dan GRS di Sabah
Kerjasama antara BN, PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berpotensi memperkukuh kedudukan Kerajaan Perpaduan di Sabah, terutama melalui pengagihan kerusi lebih teratur dan strategik.
Dalam kerangka ini, GRS yang merangkumi parti tempatan seperti Parti Gagasan Rakyat Sabah (GAGASAN), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Maju Sabah (SAPP) dijangka diberi keutamaan bertanding di kawasan majoriti Bumiputera Sabah.
Ini adalah langkah pragmatik kerana parti tempatan mempunyai pengaruh kukuh dan diterima baik oleh pengundi Bumiputera sebagai kelompok terbesar di Sabah.
PH pula terdiri daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) akan lebih menumpukan kepada kerusi bandar serta kawasan majoriti Cina serta Kadazan-Dusun-Murut (KDMR).
Strategi ini membolehkan PH mengukuhkan sokongan di kawasan menjadi kubu kuat mereka, sekali gus mengelakkan pertindihan dengan GRS.
Pembahagian kerusi seperti ini memberi ruang kepada setiap komponen gabungan bertanding secara fokus dan efisien, mengurangkan risiko pertembungan dalaman yang boleh memecahkan undi.
BN Sabah pula, terutama pimpinan menyokong Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mungkin akan mendapat kerusi lebih terhad, namun tetap kritikal sebagai penyambung antara GRS dan PH.
Peranan BN dalam kerjasama ini bukan hanya sebagai pengisi kerusi, tetapi sebagai pengimbang bagi memastikan kestabilan dan kesinambungan kerjasama antara parti tempatan serta gabungan nasional.
Pendekatan ini memberi manfaat besar kepada Kerajaan Perpaduan kerana menggalakkan kerjasama lebih tersusun, mengurangkan pertembungan banyak penjuru dan mewujudkan satu blok kuat lebih sukar ditandingi pembangkang.
Dengan pengagihan kerusi seimbang, setiap parti dapat menumpukan sumber dan tenaga kepada kawasan menjadi kekuatan mereka, sekali gus meningkatkan peluang kemenangan keseluruhan gabungan.
Di pihak pembangkang, kerjasama antara Parti Warisan (WARISAN) dan Perikatan Nasional (PN) membabitkan BERSATU Sabah dijangka membentuk gabungan alternatif untuk mencabar kerajaan sedia ada.
Matlamat utama mereka ialah mengelak pertembungan sesama sendiri dan memperkukuh kekuatan pembangkang. Namun, pembahagian kerusi kekal sebagai cabaran utama kerana kedua-dua pihak mempunyai aspirasi dominan di kawasan luar bandar dan kawasan Bumiputera Islam yang berisiko bertindih.
Sekiranya kerjasama ini berjaya dimeterai, WARISAN dijangka bertanding sekitar 40 hingga 45 kerusi, manakala PN mungkin mendapat 15 hingga 20 kerusi, dengan selebihnya diagihkan kepada parti kecil atau calon Bebas.
Realitinya, landskap politik Sabah jauh lebih kompleks berbanding Semenanjung. Pengundi Sabah lebih cenderung menyokong parti dilihat memperjuangkan isu tempatan seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), royalti minyak dan pembangunan infrastruktur luar bandar.
Pengimbang kuasa saingi WARISAN
Dalam konteks ini, kerjasama antara UMNO, PH dan GRS boleh menjadi pengimbang kuasa untuk menyaingi kekuatan WARISAN dan pembangkang, asalkan gabungan ini mampu menampilkan agenda bersama yang jelas, inklusif dan berpaksikan kepentingan rakyat Sabah.
Kerjasama ini penting untuk mengelak pertandingan banyak penjuru yang boleh memecahkan undi dan memberi kelebihan kepada pembangkang.
Sekiranya semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan bersetuju bertanding di kawasan saling melengkapi, peluang kemenangan akan meningkat. Di samping itu, keadaan ini memberi mesej bahawa kestabilan politik di peringkat Persekutuan dan negeri boleh dijajarkan untuk manfaat bersama rakyat Sabah.
Namun, kejayaan pakatan politik ini bergantung kepada sejauh mana persefahaman antara komponen parti dapat dicapai. Rundingan antara pemimpin UMNO Sabah, PH dan GRS mesti dilakukan secara telus dan ikhlas, bukan sekadar meniru kerjasama di peringkat pusat.
Pembahagian kerusi, pemilihan calon serta hala tuju dasar bersama harus diselaraskan supaya tidak menimbulkan konflik dalaman yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat.
Tambahan pula, risiko pengundi protes tidak boleh dipandang ringan. Sebahagian penyokong tegar UMNO, PH mahupun GRS mungkin berasa kecewa dengan kerjasama sesama bekas seteru politik.
Namun, kesan ini boleh diminimumkan sekiranya asas pembentukan kerjasama ini diterangkan secara jelas kepada rakyat. Komunikasi berkesan, manifesto bersama meyakinkan, serta penyelarasan kempen di akar umbi akan membantu mengukuhkan penerimaan rakyat terhadap kerjasama ini.
Kesimpulannya, PRN Sabah 2025 bakal menyaksikan persaingan sengit antara dua blok utama Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada BN, PH dan GRS, menentang pembangkang dijangka dipimpin WARISAN dan PN.
Jika kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dibentuk atas dasar saling menghormati, keikhlasan politik dan matlamat pembangunan bersama, maka pakatan ini bukan sahaja berpotensi menang, malah mampu membawa kestabilan jangka panjang kepada politik Sabah.
Penulis adalah Sarjana Pelawat di Jabatan Politik dan Pengajian Antarbangsa, Pusat Asia Tenggara (SOAS), University of London
Kredit : Berita Harian