Pelakon, Nora Danish memaklumkan telah menjual semua kasut miliknya yang tidak dipakai lagi dalam tempoh sehari.

Nora atau nama lengkap Nora Mohd Danish Hanif, 43, berkata, kasut-kasut tersebut dibeli oleh pengikutnya dalam media sosial dan dijual dengan harga yang berpatutan.
Semua kasut-kasut saya yang tidak dipakai sudah terjual, dalam masa sehari sahaja. Tak sangka, ramai pula yang berminat untuk beli kasut-kasut saya.
Nora berkata demikian ketika ditemui di majlis Pelancaran Amber Oasis Abaya Collection di Glasshouse, Seputeh, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Nora tidak menyangka apabila perkongsianya di Instagram yang menyatakan mahu menjual kasut selepas memahami maksud surah al-Hutamah menjadi tular.
Jelas aktres itu, hasratnya sekadar ingin berkongsi ilmu bersama orang ramai memandangkan surah tersebut menceritakan tentang golongan yang dihumban ke dalam neraka kerana terlalu mengutamakan harta dunia melebihi kepentingan agama Allah.
Saya tak sangka perkongsian saya itu menjadi viral. Niat saya berkongsi dengan niat baik, supaya orang-orang di luar sana tahu jika ada kasut yang tak pakai boleh dijual atau disedekahkan.
Sejak saya masuk kelas tadabbur yang mana kelas ini mengajar kita untuk lebih memahami Quran. Apa yang saya pernah belajar saya akan ulang kaji semula di rumah.
Sebab itu lah saya terbaca semula fasal neraka al-Hutamah iaitu sebuah neraka khas untuk mereka yang suka mengeji, mengumpat dan mengumpal harta.
Itu yang buat saya terus teringat ada banyak kasut-kasut tak pakai. Lepas jual kasut, mungkin selepas ini saya akan jual atau sedekah koleksi jubah saya yang banyak dalam almari.
Kredit : Oh bulan